SHAH ALAM, 22 NOV: Persidangan Dewan Negeri Selangor dari 13 hingga 20 November lalu memperlihatkan satu persoalan besar yang terus membayangi agenda pembangunan negeri, iaitu sejauh mana dasar, peruntukan dan perancangan kerajaan benar-benar diterjemahkan kepada penyelesaian yang dapat dirasai rakyat.
Walaupun Belanjawan Selangor 2027 berjumlah RM3.3 bilion memberikan gambaran mengenai keutamaan pembangunan negeri untuk tahun hadapan, perbahasan Ahli Dewan Negeri (ADN) sepanjang persidangan turut mendedahkan pelbagai cabaran yang masih belum selesai.
Daripada banjir yang berulang, sistem pengurusan sisa pepejal yang dipersoalkan, pengangkutan awam yang belum menyeluruh hinggalah kemampuan golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah, isu yang dibangkitkan memperlihatkan bahawa pembangunan bukan sekadar diukur melalui jumlah peruntukan.
Sebaliknya, keberkesanan pentadbiran turut bergantung pada keupayaan kerajaan memastikan setiap peruntukan, dasar dan projek memberikan hasil yang nyata kepada penduduk.
Analisis 799 soalan lisan dan bertulis yang dikemukakan ADN sepanjang persidangan memberikan gambaran mengenai perkara yang paling mendapat perhatian wakil rakyat.

Speaker Dewan Negeri, Lau Weng San, memaklumkan isu banjir dan tebatan banjir merekodkan 17 soalan daripada 17 ADN, diikuti pengurusan sisa pepejal dengan jumlah sama daripada 16 ADN.
Pengangkutan awam pula mencatatkan 12 soalan daripada 11 ADN, manakala kewangan negeri mendahului kategori pertanyaan bertulis dengan 19 soalan daripada 13 ADN.
Perkara itu memperlihatkan bahawa persoalan asas kehidupan rakyat, termasuk keselamatan kediaman, kebersihan persekitaran dan kemudahan mobiliti, masih menjadi tuntutan utama terhadap pentadbiran negeri.
Banjir: Persoalan keberkesanan, bukan sekadar peruntukan
Antara isu paling menonjol sepanjang persidangan ialah pengurusan banjir, khususnya selepas beberapa kawasan di Selangor berdepan kejadian banjir berulang pada awal November.
Perbahasan mengenai isu itu memperlihatkan kebimbangan ADN terhadap keberkesanan projek tebatan banjir sedia ada, penyelenggaraan sistem perparitan serta kelemahan penyelarasan antara agensi.

ADN Sentosa, Dr G Gunaraj, menggesa audit menyeluruh dilaksanakan terhadap projek tebatan banjir, termasuk menilai kapasiti sungai, sistem perparitan dan tahap penyelenggaraan infrastruktur berkaitan.
Persoalan pembangunan turut menjadi sebahagian daripada perbahasan apabila ADN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, mencadangkan syarat Kebenaran Merancang diperketat dengan mengambil kira kadar pelepasan air bagi projek pembangunan baharu.
Sementara itu, ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, mengutarakan pendekatan bandar span atau sponge city yang mengutamakan penggunaan elemen semula jadi seperti tanah dan tumbuhan untuk menyerap air hujan.
Pendekatan itu menawarkan alternatif kepada pembangunan bandar yang terlalu bergantung pada permukaan konkrit, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sistem saliran konvensional semata-mata.
Isu perlindungan ekonomi, kerugian serta insurans kepada mangsa bencana turut dibangkitkan apabila ADN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron, yang dijawab EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi bahawa kerugian akibat banjir berjumlah RM52.9 juta pada 2025, meningkat berbanding RM22.6 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Najwan menjelaskan, kerajaan negeri belum mengadakan sebarang perbincangan dengan syarikat insurans bagi meneroka inisiatif perlindungan ekonomi rakyat yang terjejas akibat bencana.
Perbahasan ini memperlihatkan bahawa isu banjir tidak boleh diselesaikan hanya melalui pembinaan kolam takungan, pelebaran sungai atau peningkatan kapasiti longkang.
Ia memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kawalan pembangunan, penyelenggaraan, penguatkuasaan, penyelarasan agensi dan kecekapan pengurusan bantuan.
Ketika penggulungan pada 20 November, Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengarahkan semua PBT menjalankan inventori serta siasatan terhadap projek pembangunan bagi memastikan syarat pembinaan kolam takungan dan penyelenggaraan sistem saliran dipatuhi.
Projek yang gagal mematuhi syarat boleh dikenakan tindakan henti kerja, termasuk penarikan balik kelulusan Kebenaran Merancang.
Beliau turut mengumumkan pertemuan bulanan bersama JPS dan PBT bagi memperkukuh penyelarasan menangani banjir, selain memantau perkembangan menerusi papan pemuka banjir.

Menurut Amirudin, kelemahan komunikasi antara pihak berkaitan dikenal pasti sebagai antara punca masalah itu, justeru penyelarasan di setiap peringkat perlu dipertingkatkan.
Dalam perkembangan sama, Amirudin turut memaklumkan kejayaan strategi pantas di peringkat mikro bagi menangani masalah banjir, dengan pengurangan kesan banjir sehingga 60 peratus di beberapa kawasan yang sebelum ini kerap terjejas, termasuk Padang Jawa, Taman Melawis dan Jalan Paip di Klang serta Taman Sri Muda di Shah Alam.
Satu lagi perkembangan penting ialah penyerahan kira-kira 380 kilometer longkang tidak bertuan kepada PBT dan agensi berkaitan mulai Januari 2027 bagi memastikan penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara berterusan.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim, berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang menyediakan inventori longkang terbabit sebelum proses penyerahan kepada PBT, JPS atau Pejabat Daerah dan Tanah dilaksanakan secara berperingkat.
Kerajaan Negeri sebelum ini turut memperuntukkan RM5 juta masing-masing pada 2025 dan 2026 bagi penyelenggaraan longkang tidak bertuan sementara menunggu proses pemutihan.
Langkah itu penting kerana masalah penyelenggaraan infrastruktur saliran tidak seharusnya terus menjadi kawasan kelabu antara agensi yang akhirnya menyebabkan penduduk menanggung akibatnya.
Pengurusan sampah: Keberkesanan sistem dipersoalkan
Selain banjir, pengurusan sisa pepejal turut menjadi antara isu yang mendapat perhatian ADN.
Walaupun Selangor mempunyai sistem pengurusan sisa pepejal melalui KDEB Waste Management (KDEBWM), tahap kebersihan di beberapa kawasan masih dipersoalkan.
Isu itu turut dikenal pasti sebagai antara tiga topik tertinggi dalam pertanyaan lisan ADN berdasarkan analisis Speaker Dewan Negeri.
Kerajaan Negeri memaklumkan peruntukan RM10 juta disalurkan kepada KDEBWM bagi menangani lokasi tumpuan pembuangan sampah haram serta memperkukuh perkhidmatan kutipan sisa.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato' Ng Suee Lim, berkata sebanyak 424 daripada 524 kampung di Selangor menerima perkhidmatan kutipan sisa domestik dan pukal secara berjadual.
Kerajaan turut menyediakan RM3 juta bagi peluasan perkhidmatan seterusnya dengan keutamaan diberikan kepada kampung yang belum menerima kutipan berjadual.

Namun, persoalan mengenai mutu perkhidmatan dan keberkesanan pemantauan masih perlu diberikan perhatian.
Ini kerana masalah kebersihan tidak hanya melibatkan keupayaan syarikat kutipan sampah, malah turut berkait dengan disiplin masyarakat, kemudahan pelupusan dan keberkesanan penguatkuasaan PBT.
Pengangkutan awam: Rangkaian tersedia, akses masih menjadi cabaran
Pengangkutan awam pula memperlihatkan satu lagi cabaran pembangunan negeri yang semakin pesat, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Sebanyak 12 soalan daripada 11 ADN mengenai pengangkutan awam dikemukakan sepanjang persidangan, menjadikannya antara isu utama dalam pertanyaan lisan.
Persoalan yang timbul bukan semata-mata mengenai kewujudan perkhidmatan bas atau rangkaian rel, tetapi sejauh mana kemudahan itu benar-benar mudah diakses oleh penduduk.

Antara cabaran yang perlu diberikan perhatian ialah hubungan perjalanan awal dan akhir atau first mile dan last mile, kemudahan laluan pejalan kaki ke stesen serta penyelarasan jadual dan laluan bas.
Dalam Belanjawan Selangor 2027, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta bagi program SEL 30 yang menyediakan subsidi pengangkutan awam RM30 sebulan kepada kira-kira 13,000 pengguna.
Selain itu, Bas Smart Selangor dijenamakan semula sebagai Bas Kita Selangor dengan peruntukan RM12 juta bagi penambahbaikan laluan, kekerapan perkhidmatan dan hubungan dengan stesen rel.
Kerajaan turut merancang menambah laluan pejalan kaki sepanjang 35 kilometer di seluruh negeri bagi memudahkan akses ke stesen pengangkutan awam dan pusat tumpuan.
Inisiatif itu menunjukkan usaha memperluas penggunaan pengangkutan awam, namun keberkesanannya bergantung pada kemampuan menyediakan perkhidmatan yang konsisten, mudah diakses dan memenuhi keperluan perjalanan harian penduduk.
Bagi negeri yang mempunyai kawasan pembangunan luas serta taburan penduduk yang tidak sekata, pengangkutan awam tidak boleh hanya tertumpu pada kawasan bandar utama.
Penduduk di kawasan pinggir bandar juga memerlukan pilihan perjalanan yang munasabah supaya kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dapat dikurangkan.
Kewangan negeri dan tuntutan ketelusan
Persoalan mengenai kewangan negeri turut menjadi perhatian apabila kategori berkenaan merekodkan 19 soalan bertulis daripada 13 ADN.
Dengan Belanjawan Selangor 2027 berjumlah RM3.3 bilion, kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan setiap peruntukan digunakan secara berkesan, khususnya ketika negeri berdepan pelbagai tuntutan pembangunan dan peningkatan kos penyediaan perkhidmatan awam.

Daripada jumlah itu, RM1.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Kerajaan Negeri menganggarkan hasil sebanyak RM2.85 bilion pada 2027.
Setakat 11 November 2026, rizab negeri direkodkan sebanyak RM5.121 bilion dengan lebihan kewangan RM422.40 juta.
Kedudukan itu memberikan ruang fiskal kepada kerajaan untuk meneruskan pembangunan, namun pada masa sama menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan antara mengekalkan rizab dan menggunakan sumber kewangan bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Menteri Besar ketika penggulungan pada 20 November menyatakan rizab negeri wajar dikekalkan sekitar RM3.5 bilion hingga RM4.5 bilion supaya lebihan kewangan dapat dimanfaatkan untuk menangani perubahan iklim, bencana dan keselamatan rantaian bekalan makanan.
Dalam aspek ketelusan pula, ADN Seri Kembangan, Wong Siew Ki, menggesa PBT memaparkan status projek, peruntukan dan perkembangan kerja secara masa nyata.
Cadangan itu melibatkan projek penyelenggaraan, naik taraf jalan dan mitigasi banjir yang memerlukan pemantauan berterusan.

Menurut beliau, maklumat berkenaan perlu dimuat naik ke laman sesawang PBT supaya ADN, Ahli Majlis dan rakyat dapat memantau perkembangan serta penggunaan dana awam.
Tuntutan berkenaan membawa kepada persoalan mengenai tahap keterbukaan maklumat kerajaan kepada rakyat.
Dalam konteks pentadbiran moden, ketelusan bukan sekadar menerbitkan laporan kewangan atau mengumumkan jumlah peruntukan.
Rakyat juga perlu mengetahui status pelaksanaan projek, tempoh siap, kos sebenar dan sebab sesuatu projek mengalami kelewatan.
Dengan akses maklumat yang lebih baik, rakyat dan wakil rakyat dapat memainkan peranan sebagai pemantau terhadap pelaksanaan dasar serta penggunaan wang awam.
Rumah mampu milik: Harga rendah belum tentu mampu dibeli
Isu perumahan turut memperlihatkan jurang antara matlamat menyediakan rumah mampu milik dengan kemampuan sebenar golongan sasaran untuk memilikinya.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah, menjelaskan antara cabaran yang dihadapi kerajaan ialah kesukaran golongan berpendapatan bawah RM5,000 mendapatkan pembiayaan perumahan.

Selain itu, permintaan terhadap jenis rumah turut berbeza mengikut kawasan. Penduduk di luar bandar, misalnya, cenderung memilih rumah teres berbanding jenis kediaman lain.
Data Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menunjukkan sebanyak 48,378 unit rumah mampu milik membabitkan 150 projek berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli antara 2018 hingga 31 Oktober 2026.
Daripada jumlah itu, 37,322 unit merupakan Rumah Selangorku, manakala 8,153 unit Rumah Idaman MBI dan 2,903 unit Rumah Selangorku Harapan.
Sebanyak 73 projek membabitkan 36,850 unit rumah mampu milik pula masih dalam pembinaan.
Keadaan itu memperlihatkan bahawa penyediaan rumah mampu milik tidak boleh hanya berasaskan jumlah unit yang dibina atau harga jualan yang ditetapkan.

Kemampuan mendapatkan pinjaman, kestabilan pendapatan, lokasi kediaman dan kesesuaian jenis rumah juga menjadi faktor penting.
Rumah yang ditawarkan pada harga terkawal belum tentu dapat dimiliki sekiranya pembeli tidak memenuhi syarat pembiayaan institusi kewangan.
Oleh itu, perancangan perumahan perlu mengimbangi antara keperluan menyediakan kediaman dengan realiti pasaran serta kemampuan kewangan pembeli.
Kebajikan dan kesihatan: Melangkaui bantuan kewangan
Dalam aspek kebajikan, perbahasan turut memberi perhatian kepada keperluan golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kumpulan rentan.
EXCO Kebajikan Wanita, Anfaal Saari, memaklumkan garis panduan reka bentuk sejagat bagi aksesibiliti OKU di seluruh Selangor berada pada fasa akhir penyediaan.

Langkah itu penting bagi memastikan kemudahan awam dapat digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal.
Selain itu, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sedang merintis projek Tenaga Kerja Perak bagi membolehkan warga emas yang masih sihat terus bekerja.
Pendekatan itu memperlihatkan keperluan mengubah perspektif terhadap warga emas, daripada hanya dilihat sebagai penerima bantuan kepada golongan yang masih mempunyai kemahiran, pengalaman dan potensi untuk menyumbang kepada ekonomi.
Dalam masa sama, bantuan BINGKAS turut menyediakan kategori tanggungan individu rentan, termasuk warga emas dan OKU yang tidak boleh bekerja, dengan kadar RM150 sebulan.
Terdahulu, Anfaal menjelaskan agihan kuota BINGKAS dibuat berdasarkan kepadatan penduduk, purata pendapatan dan indikator lain, bukannya berdasarkan kawasan ADN kerajaan atau pembangkang.

Sementara itu, isu kesihatan awam turut mendapat perhatian apabila ADN Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao, mencadangkan peruntukan kesihatan dikekalkan sekurang-kurangnya RM40 juta.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peruntukan kesihatan Belanjawan 2027 yang berjumlah RM38 juta.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah kesinambungan Iltizam Selangor Sihat, perlindungan hospitalisasi, bantuan dialisis dan rawatan jantung.
Perbahasan itu memperlihatkan bahawa kesejahteraan rakyat memerlukan pendekatan yang lebih luas daripada sekadar menyediakan bantuan tunai.
Akses kepada kemudahan awam, rawatan kesihatan, peluang pekerjaan dan persekitaran yang mesra semua golongan perlu menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negeri.
Penguatkuasaan halal dan teknologi: Keperluan memperkukuh keyakinan rakyat
Isu penguatkuasaan halal susulan tindakan terhadap sebuah premis penyembelihan ayam di Puchong yang dipercayai tidak mematuhi kaedah penyembelihan Islam dan syarat pelesenan, turut menjadi tumpuan.
EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah, memaklumkan bahawa cadangan supaya pusat penyembelihan ayam diwajibkan mempunyai penyembelih bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai syarat kelulusan lesen PBT sedang dibincangkan.
Beliau turut mencadangkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau proses penyembelihan, khususnya operasi pada waktu malam.

Pada 19 November, beliau memaklumkan sebanyak 11 pusat penyembelihan ayam tidak berlesen dikenal pasti di Selangor, dengan enam premis sudah dikenakan tindakan sitaan manakala lima lagi bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.
Tindakan itu memperlihatkan usaha memperkukuh pematuhan syarat halal, kebersihan dan keselamatan makanan di negeri ini.
Dalam perkembangan pendigitalan pula, Kerajaan Negeri menyentuh penggunaan teknologi bagi meningkatkan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan awam.
Sebanyak 250 CCTV baharu dilengkapi teknologi AI akan dipasang di seluruh Selangor menjelang 2027, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko banjir, lokasi pembuangan sampah haram serta kawasan yang mengalami kesesakan dan gangguan trafik.
Fahmi memaklumkan ketika ini sebanyak 1,781 CCTV telah dipasang di seluruh negeri, termasuk 872 unit yang mempunyai keupayaan AI.
Langkah itu menunjukkan usaha memanfaatkan teknologi bagi memperkukuh pemantauan keselamatan awam, mengesan risiko banjir dan meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.
Bagaimanapun, keberkesanannya tetap bergantung pada penyelenggaraan, penyelarasan agensi dan kemampuan sistem berkenaan digunakan secara optimum.
Mengukur kejayaan melalui hasil, bukan pengumuman
Secara keseluruhannya, perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor kali ini memperlihatkan bahawa cabaran pembangunan negeri semakin kompleks dan saling berkait.
Banjir bukan sekadar masalah sistem saliran, sebaliknya berkait rapat dengan perancangan pembangunan, perubahan iklim dan penyelarasan agensi.
Pengurusan sampah pula bukan sekadar soal kutipan, tetapi melibatkan mutu perkhidmatan, pemantauan kontraktor dan penguatkuasaan.

Begitu juga pengangkutan awam yang tidak memadai dengan penyediaan rangkaian perkhidmatan jika penduduk masih sukar mengaksesnya.
Persoalan ini akhirnya kembali kepada satu perkara, iaitu keberkesanan pelaksanaan dasar.
Belanjawan yang besar dan kedudukan rizab yang kukuh memberikan kelebihan kepada Selangor untuk meneruskan agenda pembangunan. Namun, kekuatan kewangan sahaja tidak menjamin penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat.
Apa yang lebih penting ialah kemampuan kerajaan menterjemahkan peruntukan kepada projek yang berfungsi, perkhidmatan yang berkualiti dan dasar yang memberikan kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.
Perbahasan ADN juga menunjukkan peranan Dewan Negeri bukan sekadar menjadi medan membincangkan jumlah peruntukan, tetapi ruang untuk menguji keberkesanan pentadbiran, menilai kelemahan pelaksanaan dan mendesak kerajaan memberikan penyelesaian.
Akhirnya, walaupun sudah banyak perubahan positif di Selangor, masih terdapat banyak ruang tambah baik, kerana di akhirnya ukuran kejayaan sesebuah kerajaan negeri bukan hanya terletak pada jumlah pembangunan yang diumumkan atau kedudukan kewangan yang dicapai.
Sebaliknya, ia turut ditentukan oleh sama ada penduduk dapat pulang ke rumah tanpa bimbang banjir, menikmati persekitaran yang bersih, bergerak dengan pengangkutan awam yang cekap, mendapatkan rawatan kesihatan dan memiliki kediaman yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Di situlah terletaknya cabaran sebenar Selangor selepas persidangan ini: memastikan setiap janji, peruntukan dan dasar tidak berhenti di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dirasai rakyat.
Dan perubahan ini tidak terletak di tangan Kerajaan Negeri semata-mata, ia memerlukan kerjasama semua PBT, agensi persekutuan dan negeri serta rakyat Selangor.









