SHAH ALAM, 3 OGOS: Status kekosongan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka dimuktamadkan minggu ini sebelum dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tindakan selanjutnya, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun proses itu bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Negeri, Lau Weng San yang mempunyai kuasa prerogatif untuk mengumumkan kedudukan kerusi berkenaan.
Menurutnya, penasihat undang-undang sedang menyiapkan penelitian berkaitan perkara itu sebelum dimaklumkan kepada pihak berkaitan.
“Itu prerogatif Speaker (pengumuman kekosongan kerusi), bukan saya punya kedudukan. Saya rasa LA (penasihat undang-undang) akan siapkan nota.
”Saya ingat maksimum minggu ini kita akan maklumkan kepada pihak tertentu tentang posisi dan kedudukan kerusi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Selangor di sini hari ini.

Amirudin menambah, keputusan sama ada pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan bukan ditentukan Kerajaan Negeri, sebaliknya tertakluk kepada penilaian SPR mengikut peruntukan undang-undang.
“Kita kena akur. Sebab ia adalah keputusan SPR atas pengumuman yang akan dibuat oleh Speaker. Pilihan kita ikut undang-undang. Undang-undang itu pilihan terbaik,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin mengesahkan Kerajaan Negeri menerima maklumat mengenai kemungkinan berlakunya PRK di Selangor susulan dakwaan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan rasmi masih menunggu pengumuman Speaker Dewan Negeri selepas semakan dibuat bersama penasihat undang-undang.






