Selangor cadang guna rizab kewangan PBT untuk kerja tebatan banjir

19 Nov 2026, 12:45 PM
Selangor cadang guna rizab kewangan PBT untuk kerja tebatan banjir

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri akan membawa cadangan penggunaan rizab kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kukuh dan stabil bagi membiayai kerja menaik taraf serta menyelenggara infrastruktur awam.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah itu membolehkan PBT meningkatkan usaha penyelenggaraan, sekali gus menyediakan kemudahan awam yang lebih selesa kepada rakyat.

"Memang ada sesetengah PBT mempunyai rizab kukuh dan stabil, ini masanya untuk mereka guna pakai naik taraf, baik pulih dan membuat penyelenggaraan tambahan.

"Kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk bincang supaya PBT-PBT ini khususnya yang besar-besar seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang mempunyai kemampuan untuk berbelanja lebih khususnya dalam keadaan kritikal waktu ini untuk tebatan banjir dan perbesar saliran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Negeri Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM10 juta kepada KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi menangani lokasi tumpuan pembuangan sampah haram serta memperkukuh perkhidmatan kutipan sisa.

Menurutnya, sebanyak 424 daripada 524 kampung di Selangor menerima perkhidmatan kutipan sisa domestik dan pukal secara berjadual pada 28 April lalu.

"Liputan program diperluas daripada 149 kepada 187 lokasi tanpa pertambahan peruntukan merangkumi pintu ke pintu, tong dan kekerapan tiga ke tuju kali seminggu serta penyediaan tong, lori dan jentera.

"Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM3 juta bagi perluasan seterusnya dengan keutamaan kampung yang belum menerima kutipan berjadual," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.