SHAH ALAM, 15 JULAI: Ambulans Kita Selangor fasa kedua dilancarkan hari ini dengan liputan perkhidmatan diperluaskan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 26 DUN sebelum ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, peluasan perkhidmatan itu turut meliputi semua 86 Klinik Kesihatan di Selangor dan 23 hospital kerajaan menerusi penggunaan 48 ambulans milik St John Ambulance Malaysia.
Menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan pada November tahun lalu itu turut mengukuhkan jaringan kesihatan sosial, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Khidmat ambulans percuma ini telah melangkaui ataupun meliputi khidmat ambulans percuma ke seluruh negeri. Kita harap ia beri kesan yang baik kepada keterhubungan dan akses kesihatan rakyat secara menyeluruh.
"Keseluruhannya Kerajaan Negeri memperuntuk sekitar RM1 juta menyediakan inisiatif ini sejak fasa pertama yang diperkenal pada November tahun lalu," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Ambulans Kita Selangor Fasa Dua dan pengenalan ikon kesihatan awam Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata, sepanjang pelaksanaan fasa pertama dari November 2025 hingga bulan lalu (Jun), perkhidmatan itu merekodkan 374 perjalanan pergi dan balik melibatkan 103 pesakit.
Menurutnya, tiga kawasan yang mencatatkan penggunaan tertinggi ialah Taman Medan di Petaling Jaya, Sijangkang (Kuala Langat) dan Paya Jaras (Sungai Buloh).

"Ini bermakna kawasan pinggir bandar memerlukan bantuan dan sokongan lebih besar berbanding kawasan lain. Mereka ini bukan hanya mendapat rawatan di hospital dalam Selangor sebaliknya juga di Putrajaya, Kuala Lumpur selain Teluk Intan dan Slim River di Perak.
"Jadi kita lihat keperluannya menyeluruh. Ia turut mendapat permintaan daripada kawasan perumahan penduduk berpendapatan rendah (B40) serta sederhana kerana keperluan ini memberi sokongan lebih baik berbanding sewa ambulans swasta," katanya.
Pada majlis sama, Amirudin turut memperkenalkan Bunga Tanjung sebagai Ikon Kesihatan Awam Selangor yang mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa agenda kesihatan awam.
"Ikon ini tunjuk kebersamaan, keterlibatan masyarakat dan kerjasama semua pihak. Bunga ini gambarkan kerjasama erat kerajaan, institusi dan masyarakat secara menyeluruh.
"Kita bukan hanya sediakan kesihatan awam dan bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja tetapi turut libatkan kerjasama swasta untuk uruskan dan beri kesan lebih baik," katanya.
Ambulans Kita Selangor diperkenalkan pada November tahun lalu bagi membantu golongan B40 di 26 DUN meliputi daerah Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Amirudin, inisiatif itu membolehkan keluarga menjimatkan kos antara RM250 hingga RM600 yang sebelum ini terpaksa ditanggung bagi mendapatkan perkhidmatan ambulans swasta.








