Banjir kilat: ADN Subang Jaya cadang konsep bandar span

17 Nov 2026, 2:00 PM
Banjir kilat: ADN Subang Jaya cadang konsep bandar span

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri disaran mengguna pakai konsep bandar span atau 'sponge city' bagi menangani masalah banjir kilat, khususnya di kawasan perbandaran matang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata pendekatan itu mengutamakan penyerapan air secara semula jadi melalui tanah, akar pokok dan infrastruktur hijau berbanding pembinaan struktur konkrit seperti longkang saliran.

“Malangnya, penyelesaian konvensional kita sering kali sekadar menambah lebih banyak konkrit seperti membina longkang yang lebih besar, takungan bawah tanah (sump) yang lebih dalam atau kolam takungan.

“Sebagai contoh, terdapat satu cadangan untuk membina kolam OSD bagi mengatasi banjir kilat di satu kawasan di Subang Jaya, tetapi pelaksanaannya menuntut 30 batang pokok matang ditebang.

“Tuan Speaker, ini tidak masuk akal. Kita menebang pokok yang secara semula jadinya menyerap air dan menyejukkan bumi, semata-mata untuk menggantikannya dengan struktur konkrit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Michelle mencadangkan KDEB Waste Management (KDEBWM) memperkenalkan struktur kadar bayaran berperingkat yang lebih fleksibel bagi perkhidmatan kutipan sisa pukal berbayar.

Menurutnya, penduduk Subang Jaya berdepan masalah apabila ingin melupuskan barangan besar berikutan perlu melanggan perkhidmatan berbayar KDEB yang bermula pada kadar RM200 bagi separuh tong RORO dan RM300 bagi satu tong penuh.

“Kebanyakan isi rumah hanya ingin membuang satu atau dua unit barangan, jauh daripada memenuhi separuh tong RORO.

“Akibatnya, segelintir pihak mengambil jalan mudah dengan membuang sisa pukal ini di tepi jalan atau berhampiran longkang, yang akhirnya menyumbat saliran dan menyumbang kepada banjir kilat,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.