Longkang tidak bertuan sepanjang 380 km bakal ‘berpunya’ mulai Januari 2027

19 Nov 2026, 9:00 AM
Longkang tidak bertuan sepanjang 380 km bakal ‘berpunya’ mulai Januari 2027

SHAH ALAM, 19 NOV: Kira-kira 380 kilometer (km)longkang tidak bertuan di seluruh Selangor akan diserahkan kepada beberapa pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai Januari 2027 bagi menangani masalah banjir.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata penyerahan itu turut melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan longkang terbabit diselenggara dengan baik.

Menurutnya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kini sedang menyediakan senarai inventori longkang berkenaan sebelum proses penyerahan rasmi dilaksanakan.

“Dalam masa sama, kita juga mahu selesaikan isu kolam tak bertuan. Ada lebih 600 kolam tapi bawah JPS ada kira-kira 200. Sebahagian daripadanya bawah PBT dan pemaju.

“Namun, kita berdepan masalah undang-undang untuk ambil alih dan uruskan (kolam) kerana ia libatkan tanah persendirian dan perundangan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Izham memaklumkan kira-kira 500 km longkang tidak bertuan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang banjir di negeri ini.

Susulan itu, Kerajaan Negeri membelanjakan RM5 juta bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan longkang terbabit.

Sementara itu, Izham menjelaskan terdapat tiga komponen utama yang perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko banjir berulang, iaitu kolam atau empangan, sistem saliran dan titik pelepasan air.

Katanya, penyelenggaraan menyeluruh penting bagi memastikan aliran air tidak terhalang, khususnya ketika hujan lebat.

“Tiga komponen ini perlu diselesaikan. Pertama, kolam atau empangan kena urus dengan baik. Kalau kolam ini penuh lumpur, dah tak jadi kolam. Tak boleh tampung air.

“Kedua, sistem saliran. Kalau sistem ini terganggu dengan jambatan rendah, terowong, paip air, kabel elektrik, air susah mengalir. Ketiga ialah titik pelepasan air iaitu laut.

“Dekat mana kita nak lepaskan air? Kalau masuk sungai, kawasan rendah boleh banjir. Kalau lepaskan ke kolam, air melimpah. Jadi yang terbaik adalah laut tapi kena pastikan laluan ke situ lancar,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.