SHAH ALAM, 20 NOV: Rizab negeri disasar kekal sekitar RM3.5 bilion hingga RM4.5 bilion bagi memastikan lebihan kewangan digunakan untuk mendepani perubahan iklim dan bencana.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya perlu menyesuaikan pendekatan dan perbelanjaan menghadapi realiti perubahan cuaca yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
"Perkara yang perlu diberi perhatian termasuk isu banjir, tanah runtuh serta keselamatan rantaian bekalan makanan. Ini adalah realiti yang harus kita adaptasi.
"Tetapi kita juga tidak boleh berdiam diri kerana kalau kita berdiam diri, kita seolah-olah tidak melakukan sesuatu untuk menangani isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata kedudukan rizab negeri meningkat daripada kira-kira RM2.135 bilion ketika beliau mula mentadbir negeri kepada RM5.18 bilion setakat 14 September lalu.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu dijangka berkurangan berikutan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pelbagai bayaran dan inisiatif yang sedang dilaksanakan.
"Rizab kita tidak akan lebih daripada RM5 bilion. Saya percaya rizab kita tidak boleh terlalu tinggi, tetapi janganlah rendah sampai RM1.28 bilion, RM1.29 bilion atau RM2.29 bilion.
"Biar rizab yang bersesuaian sehingga RM3.5 bilion, RM4 bilion atau RM4.5 bilion. Jadi selebihnya kita boleh belanjakan atau laksana beberapa langkah yang memberi kebaikan kepada rakyat," katanya.
Dalam pembentangan belanjawan lalu, Amirudin menjelaskan rizab semasa negeri terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.71 bilion dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM3.41 bilion.
Selain itu, katanya, kutipan hasil negeri turut meningkat mencecah RM2.956 bilion setakat 11 November lalu, mengatasi sasaran ditetapkan bagi keseluruhan tahun ini.







