SHAH ALAM, 17 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memaparkan peruntukan, perkembangan dan prestasi projek secara masa nyata bagi membolehkan rakyat serta ahli dewan negeri (ADN) memantau penggunaan dana awam dengan lebih telus.
ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata langkah itu penting khususnya bagi projek penyelenggaraan, naik taraf dan penurapan jalan serta projek mitigasi banjir yang dilaksanakan PBT.
“Selama ini, Ahli Majlis dan ADN sering dimaklumkan bahawa peruntukan PBT telah habis digunakan, sedangkan kami menghadapi kesukaran untuk menyemak bagaimana peruntukan tersebut diagih dan digunakan.
“Justeru, semua projek penyelenggaraan, naik taraf, penurapan jalan dan sebagainya wajar dimuat naik ke laman web PBT supaya semua pihak dapat memantau kemajuan setiap projek,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor semalam.
Menurutnya, sistem berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan ketelusan pengurusan PBT, malah memudahkan Ahli Majlis menjalankan tanggungjawab sebagai anggota lembaga PBT dengan akses kepada maklumat yang lebih terkini.
Tambahnya, cadangan itu turut melibatkan empat PBT berstatus bandar raya di koridor Lembah Klang Raya iaitu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“Cadangan ketelusan ini juga wajar dirujuk bersama untuk meningkatkan prestasi khidmat kepada rakyat supaya PBT lebih efisien, responsif dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Siew Ki turut mencadangkan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung solar di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Kemudahan ini wajar diberi keutamaan di lokasi tumpuan orang ramai seperti berhampiran stesen Transit Aliran Massa (MRT), pasar awam, klinik, taman rekreasi dan perhentian bas,” katanya.







