Peruntukan kesihatan Selangor 2027 disaran kekal sekurang-kurangnya RM40 juta

18 Nov 2026, 1:15 PM
Peruntukan kesihatan Selangor 2027 disaran kekal sekurang-kurangnya RM40 juta

SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri dicadang meningkatkan peruntukan kesihatan awam atau sekurang-kurangnya mengekalkannya pada RM40 juta dalam Belanjawan Selangor 2027.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao berkata peruntukan itu penting bagi memastikan rakyat terus menikmati pelbagai bantuan kesihatan, termasuk perkhidmatan saringan.

Menurutnya, Belanjawan Selangor 2027 meneruskan program Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang menyediakan bantuan rawatan asas sehingga RM500 bagi keluarga dan RM250 bagi individu, selain perlindungan hospitalisasi serta dialisis sehingga RM10,000 setahun.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan Skim Rawatan Jantung dengan pembiayaan sehingga RM50,000, Bantuan Peralatan Penjagaan sehingga RM2,000 dan banyak program lagi.

“Namun begitu, saya bimbang jumlah peruntukan kesihatan sebanyak RM38 juta yang menunjukkan penurunan berbanding peruntukan sebelumnya.

“Oleh itu, saya mencadang agar peruntukan kesihatan awam ditingkatkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan RM40 juta supaya kesihatan rakyat terus dibela melalui program-program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sock Tao turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memperbanyak program libat urus bersama pelajar sekolah, khususnya di peringkat menengah.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kita mahu pelajar melihat STEM bukan sekadar subjek yang susah untuk dipelajari, tetapi sebagai pintu kepada kerjaya masa depan yang mempunyai nilai tinggi,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.