Banjir Selangor: Antara realiti perubahan iklim, mitigasi jangka panjang dan QuickWin

10 Nov 2026, 8:00 AM
Banjir Selangor: Antara realiti perubahan iklim, mitigasi jangka panjang dan QuickWin
Banjir Selangor: Antara realiti perubahan iklim, mitigasi jangka panjang dan QuickWin
Banjir Selangor: Antara realiti perubahan iklim, mitigasi jangka panjang dan QuickWin

Kedudukan Selangor yang mempunyai beberapa sungai utama di Lembah Klang, antaranya Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Buloh, menjadikan negeri ini terdedah kepada risiko banjir. 

Tragedi bah besar pada Januari 1971 melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu, susulan hujan lebat berterusan selama hampir seminggu menjadi antara episod banjir paling buruk dalam sejarah negara. 

Sejak itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha mitigasi menerusi pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir.Namun, usaha berkenaan masih berdepan cabaran besar apabila perubahan iklim global meningkatkan risiko kejadian cuaca ekstrem.

Di Selangor, banjir besar pada Disember 2021 menjadi titik perubahan pengurusan bencana  apabila ‘banjir milenium’ bukan sahaja menenggelamkan kawasan penempatan padat seperti Taman Sri Muda, Hulu Langat dan Klang, malah meragut 25 nyawa di Selangor.

Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tragedi itu mendorong pihak berkuasa memperkukuh perancangan mitigasi bersesuaian dengan perubahan iklim ekstrem, menambah baik penyelarasan antara agensi pengurusan bencana serta meningkatkan peruntukan kewangan bagi berdepan ancaman banjir.

Bagaimanapun, kejadian banjir kilat yang berulang sepanjang 2022 hingga 2025, disusuli siri hujan lebat pada November 2026 yang menjejaskan beberapa kawasan termasuk Kampung Melayu Subang, Puncak Alam dan Paya Jaras, menunjukkan bahawa usaha tebatan banjir serta keupayaan sistem perparitan sedia ada masih berdepan pelbagai kekangan.

Hakikatnya, risiko banjir di Selangor dipengaruhi gabungan beberapa faktor, termasuk bentuk muka bumi yang mempunyai kawasan tanah rendah, pembangunan bandar yang pesat sehingga mengubah laluan air semula jadi, serta kapasiti sistem saliran yang tidak mampu menampung peningkatan aliran air ketika hujan luar biasa.

Dalam konteks perubahan iklim yang semakin ketara, cabaran itu menjadi lebih kompleks apabila corak taburan hujan berubah dan kejadian cuaca ekstrem semakin sukar diramal.

Kronologi banjir utama di Selangor (2021–2026)

Disember 2021: Tragedi banjir besar

Selangor dilanda banjir besar susulan hujan luar biasa yang dikaitkan dengan lekukan tropika sehingga menenggelamkan kawasan penempatan padat dan mengakibatkan kehilangan 25 nyawa serta kerosakan harta benda berskala besar, khususnya di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.

Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

2022: Banjir berulang di kawasan penempatan

Siri kejadian banjir kilat terus berlaku di beberapa kawasan tanah rendah dan perbandaran pesat apabila sistem perparitan sedia ada diuji dengan taburan hujan lebat di luar jangkaan.

Pada Mei 2022, tiga kampung di kawasan Kuala Kubu Bharu, iaitu Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Kampung Estet Sungai Dua, dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan.

Di Sekinchan pula, lebih 100 rumah terjejas akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

Pada Jun, sebanyak 38 keluarga membabitkan 151 mangsa dilaporkan terjejas akibat banjir di daerah Kuala Langat dan Klang.

Sementara itu, seramai 111 penduduk Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Ban RB, Sungai Sireh di Tanjong Karang terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir susulan kejadian ban pecah akibat hujan lebat berterusan.

Lebih membimbangkan, kejadian itu merupakan insiden ban pecah kali ketiga di sekitar Tanjong Karang pada November tahun sama.

Keadaan banjir yang melanda sekitar Tanjong Karang selepas benteng pecah awal pagi 6 November 2022 akibat air pasang besar. Foto Facebook Tanjong Karang

Pada 18 November, seramai 896 mangsa banjir di Selangor masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS), sekali gus memperlihatkan skala kesan bencana yang melanda negeri itu.

2023: Hujan lebat dan air pasang terus menguji sistem saliran

Pada 22 Januari, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan banjir kilat bagi kawasan berisiko di Klang, Petaling dan Kuala Selangor sekiranya hujan lebat berterusan.

Susulan itu, seramai 107 mangsa daripada 24 keluarga di Kuala Selangor dan Sungai Buloh dipindahkan ke dua PPS pada 4 Mac.

Pada 4 Jun, hujan lebat melebihi tiga jam yang berlaku serentak dengan fenomena air pasang menyebabkan banjir di Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja, Klang.

Keadaan sekitar Jeti Pulau Ketam berikutan fenomena air pasang besar yang mengakibatkan banjir sewaktu tinjauan pada 17 Oktober 2024. Tiga lokasi utama di Pelabuhan Klang berisiko banjir akibat fenomena air pasang ekstrem yang dijangka berlaku dari 17 hingga 20 Oktober. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Dianggarkan antara 50 hingga 100 rumah dinaiki air sedalam 0.1 hingga 0.5 meter. Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Bukit Raja kemudian menurun daripada 135 orang kepada 70 orang pada 5 Jun.

Memasuki November, banjir melanda beberapa daerah termasuk Sepang, Hulu Langat, Petaling dan Kuala Langat sehingga menyebabkan 603 mangsa daripada 162 keluarga ditempatkan di sembilan PPS pada 6 November.

Jumlah itu meningkat kepada 692 mangsa pada 7 November dan 768 mangsa daripada 196 keluarga pada 8 November.

Pada 14 Disember, hujan lebat sekali lagi menyebabkan banjir di Kuala Selangor sehingga memaksa 75 penduduk daripada 26 keluarga berpindah ke PPS SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang.

Jumlah mangsa meningkat kepada 106 orang daripada 35 keluarga pada 15 Disember.

Menjelang 20 Disember 2023, keadaan banjir di Selangor pulih sepenuhnya apabila semua PPS yang ketika itu masih menempatkan 25 mangsa ditutup, sekali gus menandakan berakhirnya gelombang banjir yang melanda beberapa daerah pada penghujung tahun.

2024: Kawasan bandar dan pinggir bandar terus terjejas

Sepanjang 2024, beberapa daerah di Selangor terus berdepan kejadian banjir berulang, khususnya Klang, Petaling, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang.

Pada awal tahun, banjir dilaporkan berlaku di Taman Bukit Kemuning, Taman Sri Muda, Kampung Bukit Naga, Batu Tiga dan Seri Serdang.

Pada Oktober, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan seramai 1,968 mangsa daripada 480 keluarga dipindahkan ke enam PPS berikutan banjir yang melanda tiga daerah di Selangor.

Penduduk membersihkan rumah selepas banjir kilat ketika tinjauan Selangorkini di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 11 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada November pula, banjir dilaporkan berlaku di Seksyen 13 Shah Alam, Setia Alam, Bukit Raja, Meru, Batu Tiga, Bukit Jelutong, Kapar, Pasar Borong Klang dan SK Batu Belah.

Kejadian itu memperlihatkan masalah banjir yang terus menjejaskan kawasan bandar, pinggir bandar serta penempatan penduduk di negeri ini.

Antara lokasi lain yang turut mengalami banjir sepanjang tahun berkenaan termasuk Kampung Melayu Subang, Paya Jaras, Kundang, Kampung Parit Mahang dan Kampung Sungai Merab.

2025: Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan

Pada 11 April, hujan lebat berterusan sejak awal pagi menyebabkan banjir kilat di lima daerah, iaitu Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Tengah, Kampung Seri Aman, Padang Jawa, Taman Sri Muda, Meru dan Sungai Merab.

Kejadian itu menjejaskan lebih 1,000 penduduk sehingga enam PPS dibuka, manakala laporan media turut menyebut dua kematian yang dipercayai berpunca daripada renjatan elektrik di Shah Alam.

Pada 23 April, banjir kilat sekali lagi dilaporkan di beberapa kawasan sekitar Petaling, termasuk Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Kenangan, dengan kira-kira 86 rumah terjejas.

Menjelang November, hujan berterusan menyebabkan banjir di Ijok, Kuala Selangor, Kampung Nelayan Sungai Besar dan Sekinchan, selain Taman Sri Muda, Meru serta beberapa kawasan di Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan kesan limpahan air dan banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor pada 6 November 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Kira-kira 2,000 mangsa dipindahkan ke PPS pada 25 November.

Jumlah mangsa meningkat kepada 3,657 orang daripada 1,046 keluarga pada 30 November, dengan kesemua mereka ditempatkan di 35 PPS. Kuala Selangor dan Sepang antara daerah paling terjejas.

Teguran Istana: Penyelesaian banjir tidak boleh ditangguhkan

Sebagai negeri yang menjadi antara pusat tumpuan ekonomi negara, isu keselamatan dan kebajikan rakyat di Selangor turut mendapat perhatian serius DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Siri pandangan serta teguran yang dizahirkan baginda sejak beberapa tahun lalu menjadi peringatan kepada pentadbiran negeri supaya usaha menangani banjir dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Pada 30 Oktober 2018, Sultan Sharafuddin menzahirkan keprihatinan terhadap kejadian banjir kilat di beberapa kawasan, termasuk sekitar Stadium Shah Alam, ketika persidangan berkaitan perancangan bandar.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berangkat meninggalkan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Baginda di Istana Alam Shah, Klang pada 25 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Selepas tragedi banjir besar pada Disember 2021, baginda menzahirkan rasa dukacita yang mendalam pada 19 Disember serta menitahkan supaya agensi berkaitan segera turun padang bagi menghulurkan bantuan menyeluruh kepada mangsa.

Pada 14 Mac 2022, baginda sekali lagi mengingatkan Kerajaan Negeri supaya mengambil pengajaran daripada sejarah banjir besar, selain meneroka penggunaan teknologi baharu dan mendapatkan kepakaran luar negara bagi mencari penyelesaian lebih berkesan.

Ketika istiadat pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Ogos 2023, baginda turut menegaskan kepentingan melaksanakan perancangan jangka pendek hingga jangka panjang secara cekap, termasuk mengurangkan birokrasi pentadbiran yang boleh menyusahkan rakyat.

Pada 27 Februari 2024, Sultan Sharafuddin mengingatkan Kerajaan Negeri supaya memastikan kelancaran pelaksanaan projek kerajaan, termasuk projek tebatan banjir, tanpa kelewatan akibat birokrasi.

Baginda kemudian menitahkan supaya usaha menangani banjir digandakan ketika titah pada 5 Disember 2024, selain menegaskan bahawa alasan perubahan iklim tidak seharusnya digunakan untuk menutup kelemahan dalam pengurusan.

Menerusi perutusan rasmi pada 29 Disember 2025, baginda sekali lagi menzahirkan harapan supaya perancangan jangka panjang dan penggunaan teknologi terbaik dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai matlamat sifar banjir.

Terbaharu, pada 20 April 2026 ketika merasmikan persidangan Dewan Negeri Selangor, baginda menggariskan kepentingan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan peruntukan tahunan supaya projek tebatan banjir benar-benar memberikan impak kepada rakyat.

Perubahan iklim cetus hujan lebat luar biasa

Di sebalik kejadian banjir yang berulang, perubahan iklim turut menjadi faktor penting yang perlu diberi perhatian dalam merangka strategi mitigasi jangka panjang.

Peningkatan suhu atmosfera membolehkan udara menampung lebih banyak wap air, sekali gus meningkatkan potensi kejadian hujan lebat apabila keadaan atmosfera sesuai untuk pembentukan awan hujan.

Keadaan banjir kilat di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam susulan hujan lebat pada 8 November 2026. Foto JBPM Selangor

Menurut maklumat yang dikongsikan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), peningkatan suhu sebanyak satu darjah Celsius membolehkan atmosfera menampung kira-kira empat peratus lebih banyak wap air.

Fenomena itu dapat dilihat menerusi rekod taburan hujan luar biasa sebanyak 383 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam, bersamaan jumlah hujan yang melebihi purata bulanan sekitar 200mm.

Selain itu, walaupun kitaran monsun negara secara umumnya kekal konsisten, ribut petir ketika musim peralihan monsun dilaporkan semakin ekstrem.

Malaysia sememangnya mempunyai iklim khatulistiwa yang dicirikan suhu seragam, kelembapan tinggi dan taburan hujan yang banyak sepanjang tahun. Corak hujan pula dipengaruhi tiupan angin bermusim serta bentuk muka bumi setempat.

Ketika Monsun Timur Laut, kawasan yang terdedah seperti Pantai Timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur laut Sabah lazimnya mengalami beberapa episod hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pedalaman yang terlindung banjaran gunung secara relatifnya kurang menerima pengaruh langsung tiupan angin monsun.

Di Semenanjung Malaysia, corak taburan hujan turut berbeza mengikut kawasan. Negeri di pantai timur lazimnya menerima hujan maksimum pada November hingga Januari, manakala Jun dan Julai merupakan tempoh lebih kering.

Bagi kebanyakan kawasan lain, terdapat dua tempoh hujan maksimum, iaitu sekitar April hingga Mei dan Oktober hingga November. Kawasan pantai barat daya pula turut dipengaruhi kejadian ribut Sumatera yang lazim berlaku antara Mei hingga Ogos.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika temuramah khas Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato Menteri Besar, Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengambil kira perubahan tersebut, Dato' Menteri Besar turut menyatakan komitmen untuk membuka lebih banyak ruang wacana mengenai perubahan iklim serta memperkukuh pembangunan ilmu bagi menghadapi cabaran cuaca ekstrem.

“Kalau ada orang nak sebutkan apa yang perlu kita tangani dalam tempoh setahun atau dua tahun mendatang, ia adalah berkaitan dengan krisis iklim.

“Kita jarang ketengahkan isu krisis iklim ini. Sebagai contoh, apa infrastruktur yang sesuai untuk mendepani perubahan iklim, bagaimana kita mahu bersekolah ketika situasi panas berpanjangan, hujan atau banjir.

“Justeru, saya mahu membuka wacana itu dengan lebih serius dengan menjadikan krisis iklim bukan hanya topik untuk melengkapkan satu jalan cerita, tetapi menjadi asas supaya cabaran ini dapat kita tangani,” katanya.

Mitigasi jangka panjang dan QuickWin Kerajaan Negeri

Susulan kejadian banjir yang berulang, Kerajaan Negeri memperkukuh usaha menangani masalah berkenaan menerusi penubuhan pasukan petugas khas banjir melibatkan pelbagai agensi pada Disember 2024.

Penubuhan pasukan itu bertujuan mempercepat penyelarasan tindakan serta pelaksanaan langkah mitigasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Usaha berkenaan menunjukkan perkembangan apabila sebanyak 34 projek tebatan banjir negeri bernilai RM241.6 juta berjaya disiapkan setakat November 2025 sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan risiko banjir di kawasan terjejas.

Rumah pam dan projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 28 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pada April 2026, Kerajaan Negeri turut menggerakkan pelan tebatan banjir jangka panjang bernilai RM5.74 bilion yang merangkumi 134 projek bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Pelan berkenaan bertujuan memperkukuh keupayaan infrastruktur saliran dan sistem kawalan banjir di seluruh Selangor.

Selain projek jangka panjang, pelaksanaan 255 projek segera atau QuickWin turut menunjukkan perkembangan apabila 70 peratus daripadanya berjaya disiapkan setakat Oktober 2026, manakala baki projek disasarkan selesai menjelang penghujung tahun sama.

Tebatan banjir di Kampung Padang Jawa ketika tinjauan pada 7 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Antara kawasan yang menerima manfaat projek QuickWin ialah sekitar i-City dan Bukit Raja menerusi penempatan pam air di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, penduduk masih mengharapkan langkah susulan bagi menangani masalah banjir, khususnya di kawasan laluan keluar masuk Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Di Padang Jawa, kawasan yang sebelum ini kerap berdepan masalah banjir turut menunjukkan perkembangan positif apabila pelbagai mekanisme tebatan yang dilaksanakan berjaya mengurangkan risiko kejadian banjir besar.

Sementara itu, kejadian banjir di Puncak Alam mendorong Kerajaan Negeri mengambil langkah menghentikan semua pembangunan di kawasan berkenaan serta mengarahkan supaya Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) diteliti semula.

Langkah itu mencerminkan keperluan menilai semula kesan pembangunan terhadap sistem saliran, aliran air dan daya tampung kawasan setempat sebelum sebarang pembangunan diteruskan.

Secara keseluruhannya, pendekatan berperingkat itu memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani risiko banjir melalui penyelarasan pelbagai agensi, pelaksanaan projek segera serta pembangunan infrastruktur mitigasi jangka panjang.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau jambatan Sungai Subang yang rosak akibat banjir kilat di Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 4 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar menjelaskan pelaksanaan projek QuickWin menjadi langkah sementara dan praktikal sementara menunggu projek tebatan banjir berskala besar yang memerlukan tempoh lebih panjang untuk disiapkan.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah menjanjikan masalah banjir dapat diselesaikan dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan perubahan iklim yang semakin ekstrem.

“Kerajaan Negeri tidak menjanjikan banjir hilang sekelip mata apatah lagi berhadapan isu perubahan iklim yang semakin ekstrem.

“Insya-Allah saya juga yakin dengan rancangan jangka panjang ini, Kerajaan Negeri sedang membina Selangor yang lebih beradaptasi menghadapi perubahan iklim,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.