SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 48,378 unit rumah mampu milik membabitkan 150 projek berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli bagi tempoh 2018 hingga 31 Oktober lalu.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, jumlah itu merangkumi 37,322 unit Rumah Selangorku, 8,153 unit Rumah Idaman MBI dan 2,903 unit Rumah Selangorku Harapan.
"Selain itu, 73 projek melibatkan 36,850 unit rumah mampu milik kini sedang dalam pembinaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri memperluas penyediaan perumahan mampu milik di Selangor.
"Dalam usaha merealisasikan sasaran penyediaan 200,000 unit rumah mampu milik menjelang 2028, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada 122,084 unit yang berada dalam peringkat perancangan dan disasarkan untuk dilaksanakan secara berperingkat.
"Malah, 81,728 unit daripadanya telah memperoleh Kebenaran Merancang (KM), sekali gus menunjukkan komitmen pemaju untuk melaksanakan pembangunan tersebut," katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee berhubung jumlah Rumah Selangorku yang berjaya siap pada sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Negeri Selangor (LPHS) sentiasa memantau aspek prasarana dan parkir di setiap projek perumahan mampu milik.
"Kita memang melihat perkara keperluan prasarana dan keperluan awam...biasanya sebelum mendapat KM mesti melalui beberapa peraturan dan mengambil kira yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Jadi, Kerajaan Negeri berpandukan kelulusan KM dan akan berbincang supaya memenuhi syarat ditetapkan," ujarnya.
Tambah Borhan, LPHS juga kini melaksana kaedah menyediakan beberapa pilihan perumahan kepada pembeli bagi memudahkan mereka mendapatkan kediaman.
"Kita minta LPHS sediakan borang, pembeli tentukan taman mana hendak dan adakan beberapa pilihan. Sekiranya pilihan pertama tidak dapat penuhi kehendak dan keperluan, ada pilihan kedua dan ketiga.
"Mereka tidak perlu mengisi borang lagi dan pertimbangkan kepada pemohon. Ini mempercepat masa dan beri peluang kepada pembeli," ujarnya.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar memaklumkan sebanyak 200,000 unit Rumah Selangorku mampu milik disasarkan menerusi Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman khusus untuk rakyat Selangor yang belum memiliki rumah.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu merupakan antara inisiatif di bawah Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).









