SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri disaran melaksanakan audit menyeluruh terhadap projek tebatan banjir, khususnya sistem perparitan dan saliran di kawasan berisiko banjir di seluruh Selangor.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunaraj berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan dengan berkesan dan berfungsi dengan baik supaya rakyat tidak terus terbeban akibat kejadian banjir.
"Kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan parit dilaksanakan secara berkala, khususnya sebelum bermulanya musim hujan.
"Kapasiti sistem saliran, sungai dan laluan keluar air juga perlu dikaji supaya aliran air dapat disalurkan dengan lebih cepat dan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Gunaraj turut mencadangkan penubuhan sebuah jabatan atau unit khas yang memberi tumpuan kepada pengurusan dan penyelesaian masalah banjir di Selangor.
Menurutnya, penubuhan unit itu membolehkan peranan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diselaraskan dengan lebih bersepadu dan berkesan.
Dalam pada itu, Gunaraj menyambut baik inisiatif Skim Ceria dan Dana Strata Selangor, namun berharap Kerajaan Negeri memperkukuh pemantauan pengurusan bangunan serta menyalurkan bantuan kepada pangsapuri yang berdepan masalah lif rosak, kebocoran, pendawaian elektrik lama dan sistem saliran tidak sempurna.
“Masalah-masalah ini bukan sekadar melibatkan soal keselesaan penduduk, malah turut memberi kesan kepada aspek keselamatan dan kesihatan mereka.
“Kita perlu memastikan bahawa setiap penduduk, tanpa mengira kemampuan kewangan, berhak menikmati persekitaran kediaman yang selamat, bersih dan selesa,” katanya.








