Syarat Kebenaran Merancang perlu diperketat, elak masalah saliran pembangunan

17 Nov 2026, 8:57 AM
Syarat Kebenaran Merancang perlu diperketat, elak masalah saliran pembangunan

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri disaran mengubah dan mengetatkan syarat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) bagi memastikan pelepasan atau kadar aliran air (water discharge) turut diambil kira dalam rancangan pembangunan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata undang-undang dan dasar pembangunan sedia ada perlu dikemas kini, termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pemaju.

“Perlu ubah cara KM, tidak boleh buat macam dulu. Dahulu perlu ada hasil kajian impak trafik (TIA) dan sebagainya. Tetapi perlu juga ambil kira 'water discharge' kerana dasar lama tidak semestinya selama-lamanya betul.

“Kita ada undang-undang yang baik, cuma masalah kita adalah penguatkuasaan. Di tempat saya, ada pembangunan baharu yang alirkan air ke Kampung Melayu Subang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sementara itu, Izuan mencadangkan Kerajaan Negeri menilai keperluan untuk meneroka keperluan tenaga nuklear dengan lebih serius sebagai persediaan terhadap perubahan global, khususnya berkaitan industri bekalan gas.

Menurutnya, Selangor harus ke hadapan untuk menyediakan tempat bagi memastikan lokasi tersebut juga boleh digazetkan awal daripada pembangunan di kawasan sekitar.

“Saya kira Selangor juga perlu lebih serius untuk persediaan tenaga nuklear. Saya faham ini merupakan tugas Kerajaan Pusat tetapi negeri harus ke hadapan untuk menyediakan tempat dan boleh gazetkan awal supaya segala pembangunan kawasan sekitar boleh dipertimbangkan awal,” katanya.

April lalu, Kerajaan Negeri dilapor merancang meneroka pelbagai sumber tenaga baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, termasuk mempercepat penerokaan sumber loji nuklear pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut akan digerakkan menerusi kerjasama bersama negara lain, sekali gus membentuk ekosistem dan kapasiti pelajar universiti untuk melahirkan bakat tempatan.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.