SHAH ALAM, 16 NOV: Isu banjir, pengurusan sisa pepejal dan pengangkutan awam menjadi antara tumpuan utama Ahli Dewan Negeri (ADN) pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.
Speaker DNS, Lau Weng San berkata perkara itu dikenal pasti menerusi analisis 799 soalan lisan dan bertulis yang diterima daripada wakil rakyat bagi persidangan berkenaan.
“Antara topik utama yang kami terima melalui pertanyaan lisan ialah banjir, sisa pepejal dan pengangkutan awam.
“Ketiga-tiga topik ini adalah isu yang menjadi tumpuan ADN dalam sesi pertanyaan. Daripada trend ini, kita boleh mengagak fokus perbahasan yang akan diketengahkan oleh wakil rakyat pada sidang kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung analisis soalan lisan dan bertulis ADN di Dewan Annexe di sini, hari ini.
Menurut Weng San, isu banjir dan tebatan banjir merekodkan 17 soalan daripada 17 ADN, diikuti pengurusan sisa pepejal dengan jumlah soalan sama daripada 16 ADN.

Sementara itu, pengangkutan awam mencatatkan 12 soalan daripada 11 ADN, manakala isu lain yang mendapat perhatian termasuk jerebu (13 soalan), ekonomi penjagaan (12), kebajikan warga emas (11) dan kesesakan lalu lintas (10).
Bagi pertanyaan bertulis pula, beliau berkata, kewangan negeri mendahului senarai dengan 19 soalan daripada 13 ADN, meliputi hasil negeri, tunggakan cukai dan prestasi anak syarikat kerajaan.
“Analisis terhadap soalan yang ditanyakan oleh ADN mengikut kategori lisan dan bertulis menunjukkan trend yang berbeza.
“Soalan bertulis sangat tertumpu kepada kewangan negeri dan akauntabiliti, manakala soalan lisan lebih tertumpu kepada perkara yang dirasai terus oleh rakyat,” ujarnya.
Weng San memaklumkan, daripada 45 ADN yang bukan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, seramai 44 mengemukakan 415 soalan lisan dan 389 soalan bertulis.
Bagaimanapun katanya, selepas proses tapisan, sebanyak 412 soalan lisan dan 387 soalan bertulis diterima, manakala lima soalan ditolak atas faktor teknikal.
"Antara sebab penolakan termasuk soalan berulang, tidak jelas, berbentuk kenyataan atau berada di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setiap ADN diberikan tempoh 15 minit untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tanpa mengira wakil kerajaan atau pembangkang.
Menurutnya, persidangan kali ini berkemungkinan berakhir lebih awal daripada jadual, namun masa persidangan mungkin perlu dilanjutkan bagi memberi ruang mencukupi kepada semua ADN untuk berbahas.
Beliau turut memaklumkan jawapan yang dibekalkan lebih awal menerusi sistem e-Sidang membantu ADN menyediakan perbahasan lebih tersusun dan substantif.










