Selangor rekod kerugian banjir RM52.9 juta pada 2025

17 Nov 2026, 3:24 AM
Selangor rekod kerugian banjir RM52.9 juta pada 2025

SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor merekodkan kerugian akibat banjir berjumlah RM52.9 juta pada 2025, meningkat berbanding RM22.6 juta pada tahun sebelumnya.

EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata kerugian itu melibatkan kerosakan infrastruktur sebanyak RM26.6 juta, kediaman (RM15.3 juta), sektor pertanian (RM9.6 juta), premis perniagaan (RM1 juta) dan kenderaan (RM0.4 juta).

“Berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara mencecah RM636.9 juta pada 2025 berbanding RM933.4 juta pada 2024.

“Semua negeri di Malaysia menerima kesan akibat banjir, dengan Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM89.2 juta, diikuti Kelantan (RM88.5 juta) dan Johor (RM72.1 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid mengenai anggaran kerugian ekonomi tahunan akibat bencana pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najwan berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh perlindungan ekonomi rakyat yang terjejas akibat bencana melalui pendekatan pengurusan bencana yang menyeluruh.

Beliau menjelaskan, antara langkah yang dilaksanakan adalah melalui penyelarasan pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah, penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), penyaluran bantuan kepada mangsa terjejas serta penyelarasan bantuan pemulihan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada usaha mengurangkan risiko kerugian harta benda dan gangguan aktiviti ekonomi melalui pengukuhan kesiapsiagaan komuniti, penyampaian maklumat amaran awal bencana serta kerjasama dengan agensi teknikal.

“Pendekatan ini bertujuan membantu rakyat mengurangkan beban kewangan, mempercepat proses pemulihan kehidupan dan memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi selepas berlakunya bencana,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.