SHAH ALAM, 19 NOV: Sebanyak 250 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan ditambah di semua pihak berkuasa tempatan menjelang tahun hadapan.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pemasangan CCTV itu dijangka selesai pada Mac itu memberi keutamaan di kawasan berisiko banjir, aktiviti pembuangan sampah haram serta kesesakan dan gangguan trafik.
"Sebanyak 1,781 unit CCTV telah dipasang di seluruh Selangor bagi tujuan pemantauan keselamatan awam, kawasan berisiko banjir dan aktiviti pembuangan sampah haram. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 872 unit CCTV mempunyai keupayaan teknologi AI.
"Dengan penambahan tersebut, jumlah keseluruhan CCTV di Selangor dijangka meningkat kepada 2,031 unit yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang 2030 ia termasuk 1,122 unit yang mempunyai keupayaan teknologi AI sekali gus melepasi sasaran pemasangan 2,000 unit CCTV di seluruh negeri," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S. Preakas berhubung pemasangan CCTV yang sedia di kawasan telah diintegrasikan dengan teknologi AI pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan pemasangan CCTV dipasang mempunyai keupayaan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, pengiraan kepadatan orang ramai dan jumlah kenderaan, pengesanan pembuangan sampah haram, pemantauan sisa, pengesanan awal banjir kilat dan risiko tanah runtuh.
Fahmi turut memaklumkan, maklumat dan rakaman CCTV diperoleh disalurkan kepada jabatan atau pihak berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Bagi kejadian yang melibatkan unsur jenayah, maklumat dan rakaman CCTV boleh disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
"Berhubung risiko banjir pula, maklumat pemantauan dapat membantu penyelarasan kesiapsiagaan dan tindak balas awal oleh agensi pengurusan bencana, manakala pengesanan aktiviti pembuangan sampah haram membolehkan PBT menjalankan siasatan serta tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang terlibat," ujarnya.
Tambah Fahmi, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mengintegrasikan sistem CCTV di seluruh PBT dengan Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) secara berperingkat.
"Ini bagi membolehkan pemantauan berpusat, perkongsian maklumat dan penyelarasan tindakan antara PBT dan agensi berkaitan dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
"Usaha ini turut menjadi sebahagian daripada hala tuju peluasan penggunaan teknologi AI dalam sistem pemantauan bandar di Selangor," katanya.







