SHAH ALAM, 17 NOV: Operasi pusat penyembelihan ayam di Selangor bakal diperketat, termasuk cadangan mewajibkan setiap premis mempunyai penyembelih bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai syarat kelulusan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).
EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata cadangan tersebut sedang dibincangkan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan pematuhan standard penyembelihan halal, sekali gus menjamin bekalan makanan berkualiti di negeri ini.
"Saya cadang kepada pihak MAIS, boleh tak untuk pusat penyembelihan ayam terutamanya di negeri Selangor ini, sebelum lesen itu dibekalkan, syarat nak dapat lulus lesen itu adalah dia wajib mempunyai seorang penyembelih yang punya tauliah penyembelih halal daripada JAIS.
“Syarat yang dicadangkan itu wajar meliputi semua pusat sembelihan ayam, sama ada dikendalikan pengusaha Islam atau bukan Islam," katanya pada sidang media di Dewan Annexe, Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mohammad Fahmi berkata urusan pelesenan premis dan pemantauan aspek penyembelihan halal ketika ini dikendalikan secara berasingan oleh PBT dan JAIS.
“PBT bertanggungjawab mengeluarkan lesen serta memantau kebersihan premis, manakala JAIS mengawasi aspek penyembelihan halal termasuk penggunaan penyembelih bertauliah.
"Sekarang ini dia berasingan. Maksudnya kalau orang itu nak buka premis sembelihan ayam yang sah di Selangor, dia kena ada lesen PBT. Kemudian dia dapat lesen itu, sama ada dia nak guna penyembelih bertauliah halal atau tidak, itu pilihan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau meminta PBT dan JAIS menyelaraskan rekod masing-masing bagi mengenal pasti jumlah sebenar pusat sembelihan ayam yang beroperasi di Selangor.
Beliau berkata berdasarkan data diperoleh pihaknya, sebanyak 60 premis penyembelihan di Selangor mempunyai lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala 149 premis lagi tidak mempunyai lesen PBT tetapi mempunyai penyembelih halal bertauliah.
“Bagaimanapun, kedua-dua angka itu masih perlu disemak bagi mengenal pasti pertindihan rekod dan mengesahkan jumlah sebenar premis yang beroperasi.
"Kita minta data awal daripada kedua-dua agensi dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat selewat-lewatnya hujung minggu ini," katanya.
Beliau turut menegaskan aspek keselamatan makanan, kebersihan dan alam sekitar turut perlu diberi perhatian bagi memastikan ayam yang dibekalkan kepada pengguna selamat dimakan.
"Kita pentingkan di sini bukan sahaja halal ayam itu, tetapi keselamatan makanan, kebersihan ayam mentah yang dihasilkan," katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller di sebuah gudang di Puchong.
Siasatan mendapati premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah itu menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam pengendalian ayam.
Pemeriksaan awal turut mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum disembelih.







