Selangor rangka garis panduan aksesibiliti OKU, kini fasa akhir penyediaan

19 Nov 2026, 9:29 AM
Selangor rangka garis panduan aksesibiliti OKU, kini fasa akhir penyediaan

SHAH ALAM, 19 NOV: Garis panduan reka bentuk sejagat berkenaan aksesibiliti orang kurang upaya (OKU) kini dalam fasa akhir penyediaan, kata EXCO kebajikan wanita.

Anfaal Saari berkata pelaksanaan garis panduan itu diharap dapat memperkasa golongan berkenaan, selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.

"Kerajaan Negeri dalam fasa-fasa akhir untuk menyiapkan sebuah garis panduan untuk pelaksanaan reka bentuk sejagat di seluruh Selangor. Selangor akan terus menambah baik dan memelihara kebajikan warga emas dan OKU.

"Selain itu, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sedang merintis projek Tenaga Kerja Perak bagi membolehkan warga emas yang masih sihat untuk bekerja, seterusnya membolehkan penuaan produktif dan menyokong penuaan yang sihat," katanya, hari ini.

Bercakap pada sesi penggulungan Belanjawan Negeri Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Anfaal menegaskan inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diagihkan secara adil kepada penerima antara Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan mahupun pembangkang.

"Bantuan BINGKAS untuk tanggungan individu rentan iaitu warga emas dan OKU yang tidak boleh bekerja sebelum ini belum wujud, maka Kerajaan Negeri wujudkan kategori tanggungan individu rentan ini dengan kadar RM150 sebulan.

"Maknanya, bantuan ini bukan dikurangkan separuh, tetapi diwujudkan daripada tidak ada. Malah, agihan kuota BINGKAS tidak pernah memasukkan kriteria DUN kerajaan mahupun pembangkang, ia diagihkan mengikut kepadatan penduduk DUN, purata pendapatan, dan lain-lain indikator," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.