PKPS sedia jayakan Jualan Rahmah MADANI mingguan di semua DUN

7 Mei 2026, 6:00 AM
PKPS sedia jayakan Jualan Rahmah MADANI mingguan di semua DUN
PKPS sedia jayakan Jualan Rahmah MADANI mingguan di semua DUN

SHAH ALAM, 7 MEI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sedia bekerjasama bagi menjayakan peluasan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) secara mingguan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

"Langkah ini selari dengan usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup serta kenaikan harga barang berikutan krisis bekalan global, di samping memastikan akses kepada barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan.

"PKPS turut melihat pelaksanaan inisiatif seperti PJRM memerlukan sokongan dan penyelarasan berterusan antara pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan pemain industri, bagi memastikan keberkesanan serta kelangsungan program," katanya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pelaksanaan PJRM akan diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"PKPS turut mengambil maklum fokus peluasan program itu ke kawasan luar bandar dan kampung di Selangor," katanya.

Sehingga kini, katanya, PKPS berjaya menjalin kerjasama dengan 80 kedai runcit, empat pemborong dan 38 pasar raya rakan strategik yang terlibat secara aktif dalam menjayakan PJRM di seluruh Selangor.

"Dengan pengalaman dan kemudahan infrastruktur yang dimiliki, PKPS bersedia memberi sokongan yang diperlukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan berkesan," katanya.

Mohamad Khairil berkata perincian lokasi serta kaedah pelaksanaan akan ditentukan oleh KPDN Selangor bersama PKPS.

Tambah beliau, PKPS komited meneruskan kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan inisiatif seperti PJRM memberi manfaat kepada rakyat selain menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.

KPDN Selangor bersama PKPS sebelum ini menjalinkan kerjasama menerusi penganjuran Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dilaksanakan di lebih 3,300 lokasi seluruh Selangor sejak 2022 hingga 2025.

Program JER menawarkan barangan keperluan dapur pada harga kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.