ad

Belanjawan Selangor 2026: Apa rakyat dapat?

15 Nov 2025, 3:01 AM
Belanjawan Selangor 2026: Apa rakyat dapat?
Belanjawan Selangor 2026: Apa rakyat dapat?
Belanjawan Selangor 2026: Apa rakyat dapat?
Belanjawan Selangor 2026: Apa rakyat dapat?

SHAH ALAM, 14 NOV: Belanjawan Selangor 2026 terus menumpukan kesejahteraan rakyat dengan pelbagai inisiatif baharu serta penambahbaikan program sedia ada meliputi aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, keluarga, wanita, warga emas, usahawan dan penggiat seni.

Ia membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membina negeri yang makmur, inklusif dan sejahtera melalui dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Kesihatan

Kerajaan Negeri meneruskan komitmen menyediakan akses kesihatan menyeluruh dan percuma kepada rakyat, termasuk bantuan rawatan asas, perlindungan penyakit kritikal serta sokongan kaunseling komuniti di setiap daerah.

Program Iltizam Selangor Sihat (ISS):

-Rawatan asas dan vaksinasi sehingga RM500

-Rawatan hospitalisasi sehingga RM10,000

-Rawatan dialisis sehingga RM10,000

-Perlindungan penyakit kritikal sehingga RM5,000

Bantuan Sihat Selangor (BSS):

-Rawatan dan pembedahan kecil sehingga RM5,000

-Bantuan kaki palsu sehingga RM5,000

-Bantuan kanta mata serta pembedahan katarak sehingga RM1,200 seorang

-Saringan kesihatan percuma untuk penyakit tidak berjangkit, barah, mata, mulut, telinga dan pemeriksaan fizikal.

-Kaunselor Hab SEHAT ditempatkan di setiap daerah bagi sesi kaunseling percuma.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin melawat reruai di Karnival Anak Selangor Anak Sihat dan Program Selangor Lifestyle Improvement Modul dimPangsapuri Putri Laksamana Batu Caves Selangor pada 17 Ogos 2024.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Keluarga

Kesejahteraan keluarga menjadi fokus utama dengan bantuan tunai, subsidi pendidikan awal kanak-kanak, pelan keluar bagi penerima bantuan dan insentif bagi mengurangkan beban sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

-RM50 sebulan untuk kanak-kanak usia 5 dan 6 tahun melalui Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) bagi keluarga berpendapatan bawah RM5,000.

-Subsidi yuran KAFA Integrasi RM30 sebulan untuk isi rumah berpendapatan bawah RM3,000.

-Ahli TAWAS terima RM1,500 apabila mencapai umur 18 tahun.

-MamaKerja: Kanak-kanak bawah 6 tahun terima RM100 sebulan.

-BINGKAS Plus: Pelan keluar (exit plan) bagi penerima BINGKAS untuk bantu ketua isi rumah miskin tegar keluar daripada kebergantungan bantuan.

-Baucar RM200 sempena perayaan untuk keluarga berpendapatan bawah RM3,000.

-100 peratus rebat cukai taksiran bagi rumah yang memasang panel solar, sistem penuaian air hujan, pengecas EV dan sistem kompos sisa makanan.

Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar melihat peralatan di dalam beg sekolah ketika program serahan Bantuan Masuk Sekolah kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) 2025 di Dewan Serbaguna MBPJ, Taman Dato' Harun, Petaling Jaya pada 1 Januari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pelajar dan mahasiswa

Sektor pendidikan terus diperkukuh dengan pelbagai program baharu, termasuk tambahan subjek sains, bantuan buku, elaun latihan amali serta tanggungan yuran pengajian bagi pelajar universiti negeri.

-Subjek Fizik dan Kimia diperkenal di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

-Pembelajaran lapan bahasa asing percuma di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

-10,000 pelajar terima baucar buku RM200.

-Elaun RM1,500 sebulan bagi latihan amali (internship) melalui Program SPARK.

-5,000 mahasiswa terima Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) bernilai RM1,000.

-4,000 pelajar UNISEL dan UIS ditanggung 50% yuran pengajian.

-Program Selangor Career Outreach (SCOUT) tingkatkan kebolehpasaran graduan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari Bergambar bersama mahasiswa pada program Mahasiswa Pulang Ke kampus 2025 di Dataran SUK,Seksyen 14, Shah Alam pada 4 April 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.

Perumahan

Kerajaan Negeri memastikan rakyat terus memiliki tempat tinggal selesa dan mampu milik melalui penambahan unit baharu, projek PRR dan bantuan bina serta baik pulih rumah rakyat.

-Tambahan 300 unit baharu di bawah Skim Smart Sewa.

-Pembangunan baharu Program Residensi Rakyat (PRR) di kawasan Dengkil.

-Bantuan baik pulih rumah bernilai RM35,000 dan bina rumah baharu RM85,000.

Usahawan

-Golongan usahawan kecil dan penjaja terus diberi perhatian melalui pinjaman tanpa faedah, kemudahan peralatan niaga dan sokongan modal bagi memperkukuh ekonomi rakyat.

-Peniaga PLATS ditawar pinjaman tanpa faedah RM10,000 hingga 7 tahun.

-Peniaga dan penjaja kecil berpendapatan rendah diberi bantuan alat niaga percuma.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menunjukkan kod QR Kupon Digital Rahmah Platform Selangor (PLATS) ketika menyantuni peniaga Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 pada 4 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Umat Islam

Kerajaan Negeri terus memperkasa pembangunan syiar Islam menerusi insentif ibadah, naik taraf kemudahan masjid serta penubuhan pusat keilmuan Islam di peringkat antarabangsa.

-Insentif Haji Muasassah Selangor naik kepada RM1,500.

-Naik taraf kemudahan tandas di 14 masjid utama.

-Pembinaan Pusat Hadis Sedunia dengan kerjasama Majlis Bukhari Malaysia dan Pusat Pengembangan Turath Nusantara.

Pencari Kerja

-Program pencarian kerja terus diperkukuh melalui penganjuran karnival kerjaya serta latihan pensijilan untuk membantu anak muda dan graduan menyesuaikan diri dengan pasaran kerja semasa.

-Karnival Kerjaya JobCare diteruskan bersama program pensijilan dan pembangunan kemahiran.

Wanita

-Golongan wanita turut diberdayakan melalui peluang pekerjaan, latihan keusahawanan dan inisiatif digital bagi memperkukuh ekonomi keluarga.

-Karnival Kerjaya Wanita tawar pelbagai peluang pekerjaan.

-Program Usahanita Digital bantu wanita ceburi bidang e-dagang dan ekonomi kreatif.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berucap ketika Program Insentif Digital Media Usahanita Muda di pusat beli belah Central i–City, Shah Alam pada 25 Mei 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Warga Emas, OKU & Orang Asli

Kerajaan Negeri tidak melupakan golongan rentan dengan bantuan tunai, khairat kematian dan sokongan pembangunan komuniti Orang Asli.

-Baucar beli-belah RM150 untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan OKU.

-Khairat kematian RM1,000 bagi penerima berusia 50 tahun ke atas dan OKU.

-RM500,000 diperuntukkan bagi memperkasa komuniti Orang Asli.

Penggiat seni & budaya

Sektor seni dan budaya terus disemarakkan melalui pengecualian cukai hiburan dan penganjuran acara berprestij yang meraikan warisan serta kreativiti rakyat Selangor.

-Cukai hiburan dikecualikan sepenuhnya mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

-Penganjuran Konsert Diraja, Himpunan Kereta Klasik Diraja dan Pameran Pemerintahan Tuanku di Muzium Sultan Alam Shah.