SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperluaskan pelaksanaan Inisiatif MamaKerja dengan menawarkan bantuan tunai RM100 sebulan selama setahun kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 2,166 kanak-kanak di seluruh Selangor, selaras dengan sasaran kumpulan penerima yang dikenal pasti.
“Dengan peruntukan RM5 juta, ini adalah manifestasi pentadbiran yang menghargai peranan wanita dalam pembangunan negeri, di samping membantu wanita bekerjaya untuk terus berbakti kepada keluarga dan masyarakat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata bantuan tunai itu akan dipadankan dengan pemantauan berkala terhadap perkembangan kanak-kanak merangkumi aspek kognitif, fizikal dan kesejahteraan menyeluruh. Usaha ini turut disokong UNICEF sebagai rakan strategik dalam memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak di Selangor.
Inisiatif MamaKerja merupakan antara janji di bawah manifesto Lima Tekad Lima Tahun, dan telah dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas Gabungan Perpaduan memenangi Pilihan Raya Negeri pada 2023.
Program itu terus mendapat sambutan positif dalam kalangan ibu bapa serta pemain industri berkaitan penjagaan kanak-kanak.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan Program Iltizam Anak Selangor (ANAS) dengan peruntukan RM3 juta pada 2026 bagi memastikan kesinambungan sokongan kepada keluarga muda di negeri ini.




