SHAH ALAM, 14 NOV: Platform Selangor (PLATS) Biaya PLUS akan dibangunkan dalam membantu usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut dilaksana menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Agro Bank.
"Agro Bank akan menawarkan pinjaman RM10,000 tanpa faedah kepada 600 usahawan PLATS dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan sekali gus mengukuh aliran tunai operasi.
"Agensi kewangan Agro Bank akan memberikan pinjaman RM6 juta dan Kerajaan Negeri pula memperuntuk RM1 juta tambahan untuk menampung kos faedah pinjaman agar 600 peniaga PLATS menerima manfaat pinjaman RM10,000 tanpa faedah sehingga tujuh tahun," katanya hari ini.

Terdahulu, ketika membentang Belanjawan Selangor, Amirudin memaklumkan seramai 120 usahawan PLATS menerima manfaat dengan pembiayaan RM3,000 selama tempoh 12 bulan tanpa faedah.
PLATS adalah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran.
Sepanjang tahun lalu, usahawan PLATS merekodkan nilai transaksi jualan mencecah kira-kira RM15 juta dengan hasil penglibatan aktif menerusi pelbagai medium pemasaran dan saluran digital.
Pencapaian itu dicatat menerusi transaksi bazar Ramadan PLATS dengan nilai jualan RM8 juta manakala selebihnya dalam pelbagai platform jualan lain.






