KLANG, 11 DIS: Selangor terus memberi tumpuan kepada pembentukan generasi yang cekal, berpendidikan dan berwawasan sebagai asas memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perencanaan Belanjawan Selangor 2026 yang berteraskan enam tekad disusun dengan cermat bagi memastikan dasar negeri kekal relevan serta berkesan.
“Ia direncanakan dengan mengambil kira keperluan mendesak pada detik ini iaitu pembentukan generasi yang cekal, berpendidikan dan berwawasan.
“Mendasari tekad ini adalah untuk memastikan keadilan bagi rakyat terbela, peluang pekerjaan rakyat dipertingkatkan dan memasuki era baharu islah melalui reformasi tadbir urus kerana rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan taat setia sempena Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.
Menurut Amirudin, Selangor juga menekankan kepentingan pendidikan sebagai kunci kejayaan generasi muda termasuk melalui pengukuhan program intervensi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau turut memaklumkan komitmen Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15, iaitu 5 Tekad 5 Tahun yang menggariskan 48 komitmen utama serta peluasan baharu, menunjukkan perkembangan positif.
“Sehingga awal Disember ini, iaitu dalam tempoh 28 bulan, 47.92 peratus telah dilaksanakan sepenuhnya dan ada yang sedang berada dalam fasa pelaksanaan.
“Patik komited untuk menyegerakan tekad-tekad yang belum dilaksanakan agar rakyat Tuanku dapat menerima manfaat, terutama dalam pengurusan negeri yang mempunyai kadar urbanisasi paling tinggi di Malaysia,” katanya.
Mengenai Dasar Speed Selangor yang dilancarkan pada Oktober lalu, Amirudin berkata dasar tersebut diterima baik oleh industri kerana mampu mempercepat penyertaan rakyat dalam peluang pekerjaan.
“Ini kerana proses urusan dengan Kerajaan dan PBT dapat dikurangkan dari tiga bulan setengah kepada hanya antara tujuh hingga 14 hari bagi pembinaan yang menepati kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri juga komited menyegerakan projek tebatan banjir melibatkan Lembangan Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Bernam serta Kapar Besar dengan peruntukan RM54.34 juta.


