ad

BINGKAS Plus, strategi baharu selesai isu miskin tegar di Selangor

15 Nov 2025, 1:45 AM
BINGKAS Plus, strategi baharu selesai isu miskin tegar di Selangor
BINGKAS Plus, strategi baharu selesai isu miskin tegar di Selangor

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan BINGKAS Plus, pelan keluar (exit plan) khusus untuk penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan tumpuan kepada ketua isi rumah miskin tegar yang masih memerlukan sokongan bagi meningkatkan taraf hidup.

Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata program itu dirangka bagi memastikan keluarga berpendapatan rendah yang tamat tempoh bantuan dua tahun lalu terus dibantu melalui pendekatan lebih tersasar, termasuk keluarga yang menjaga anak orang kurang upaya (OKU) atau tanggungan warga emas.

“BINGKAS Plus ingin memberi tumpuan kepada pelan keluar yang lebih menyeluruh. Ada keluarga yang tamat tempoh dua tahun bantuan, tetapi masih bergelut kerana mereka menjaga anak OKU atau warga emas.

“Jadi kita melihat potensi untuk terus membantu kumpulan ini, dan pada masa sama menjajarkan mereka dengan program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) lain seperti bantuan keusahawanan, latihan kemahiran teknologi dan pendidikan vokasional (TVET) serta usaha peningkatan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor, semalam.

Menurut Anfaal, peruntukan tambahan RM5 juta yang diumumkan Kerajaan Negeri menjadi dorongan penting dalam memperhalusi intervensi baharu di bawah program tersebut.

“Bantuan tidak lagi terikat kepada kaedah seperti pemberian RM300 sebulan selama 24 bulan, sebaliknya dibuka kepada format lebih fleksibel berdasarkan keperluan keluarga.

“Kita ada sekitar 1,400 ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar yang perlu diselesaikan. Ramai berusia antara 65 hingga 90 tahun dan tidak mempunyai akses kepada telefon pintar, jadi pendekatan bantuan perlu lebih fleksibel dan disesuaikan dengan realiti mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, perincian penuh pelaksanaan BINGKAS Plus akan melalui penelitian rapi sebelum dimuktamadkan dan dijangka diumumkan pada 2026 bagi memastikan ia benar-benar berkesan sebagai pelan keluar kemiskinan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anfaal turut menyambut baik Belanjawan Selangor 2026 yang memberi keutamaan kepada aspek sosial selari dengan tema ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’.

Belanjawan berkenaan turut menyaksikan peningkatan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) daripada RM40 juta kepada RM55 juta serta penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor sebagai komitmen terhadap kebajikan warga emas dan komuniti OKU.

“Saya selaku EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor menyambut baik Belanjawan 2026 yang memberikan fokus lebih luas kepada aspek sosial.

Secara keseluruhan, tumpuan kepada wanita dan warga emas juga sangat baik,” katanya.