SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Selangor meneruskan subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) sebanyak RM30 sebulan kepada murid B40 menerusi peruntukan RM5 juta, tahun depan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu melibatkan murid daripada keluarga dengan purata pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.
“Pendidikan anak-anak dalam bidang agama terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, justeru kesinambungan inisiatif bantuan subsidi yuran Kafa Integrasi yang dilaksanakan mulai 2022 akan terus diperkasa.
"Sebagaimana sebelum ini, Kerajaan Negeri sekali lagi mengambil tanggungjawab untuk memastikan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir dalam pendidikan agama,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurut Amirudin, subsidi itu membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan memastikan anak-anak dapat mengikuti pendidikan agama Islam dengan lebih sempurna.
“Usaha ini bukan sahaja melahirkan generasi celik al-Quran, malah membentuk anak-anak Selangor yang berakhlak mulia, berilmu dan berdisiplin, seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor negeri unggul dari sudut pembangunan rohani dan jasmani.
"Di samping itu, ia menampung kos operasi asas institusi Kafa seperti penyediaan prasarana, bahan pengajaran dan pembelajaran serta sedikit sebanyak membantu kebajikan guru-guru Kafa,” katanya.




