SHAH ALAM, 14 NOV : Program Usahanita Digital menerima peruntukan RM300,000 pada tahun hadapan susulan kejayaan produk pesertanya yang berjaya menembusi pasaran luar negara.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu membantu wanita meluaskan peluang niaga dalam bidang digital, e-dagang dan ekonomi kreatif.
“Usahanita Digital telah membuktikan kejayaan apabila produk wanita Selangor berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Brunei, Singapura dan
Thailand,” katanya ketika berucap sempena Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
April lalu, EXCO Pembangunan Wanita memaklumkan Program Usahanita Digital menyediakan peluang latihan, bimbingan pakar industri, serta akses kepada jaringan pasaran dan sokongan strategik.
Seramai 203 usahawan wanita muda terpilih daripada 226 permohonan selepas melalui proses saringan ketat. Kesemuanya bakal menjalani latihan intensif selama tiga bulan bermula April hingga Jun 2025.
Sementara itu Amirudin turut mengumumkan selaras dengan perkembangan teknologi dan ekonomi masa depan, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan inisiatif Wanita Selangor & AI.
Jelasnya, ia sebagai platform khusus untuk meneroka potensi golongan itu meneroka bidang kecerdasan buatan (AI) dan digital.
“Inisiatif berjumlah RM200,000 ini akan menumpukan kepada penganjuran seminar dan program inkubasi bagi mengenal pasti jurang penglibatan wanita dalam sektor teknologi serta menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran baharu dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran semasa,” katanya lagi.




