ad

Belanjawan Selangor 2026: 3,700 kanak-kanak dapat bantuan yuran tadika RM50 tahun depan

14 Nov 2025, 8:46 AM
Belanjawan Selangor 2026: 3,700 kanak-kanak dapat bantuan yuran tadika RM50 tahun depan

SHAH ALAM, 14 NOV: Seramai 3,700 kanak-kanak bakal menerima manfaat Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) menerusi peruntukan RM2 juta bawah Belanjawan Selangor 2026.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu melibatkan bantuan RM50 sebulan kepada setiap kanak-kanak berusia lima dan enam tahun daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah.

“Program TUNAS demi memastikan setiap kanak-kanak di Selangor mendapat peluang pendidikan awal yang bermutu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menjelaskan fokus lebih luas tahun hadapan, Amirudin berkata Kerajaan Negeri komited mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri yang menerajui pendidikan bermutu.

“Ia menerusi pelbagai program termasuk Program Pemberdayaan Pendidikan dan Pembangunan Guru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran murid melalui pembangunan kompetensi, profesionalisme dan kesejahteraan guru.

"Menerusi inisiatif ini Kerajaan Negeri berharap agar kita berjaya melahirkan pelajar yang berdaya saing, beretika dan berilmu,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2012, TUNAS telah memanfaatkan 21,236 ibu bapa di seluruh Selangor sehingga tahun 2023.