SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor mengecualikan cukai hiburan ke atas program kesenian keagamaan bagi tempoh setahun bermula 1 Januari tahun depan, umum Dato’ Menteri Besar.
Pengecualian ini bertujuan untuk menggalakkan kegiatan pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.
"Sebelum ini, program sebegini perlu membayar RM205 sehari untuk program kesenian dan pementasan melibatkan nasyid dan RM20 sehari untuk wayang tokong.
“Ini akan dikecualikan sepenuhnya dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari semasa membentangkan belanjawan negeri untuk tahun depan di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pengecualian penuh cukai hiburan juga diberikan untuk taman tema khusus bagi tiga kategori pengunjung iaitu warga emas, orang kurang upaya, dan kanak-kanak berumur tidak lebih 5 tahun, tambahnya.
Selangor juga mengekalkan untuk setahun lagi pengecualian cukai hiburan ke atas konsert artis tempatan manakala cukai hiburan bagi persembahan artis luar negara diturunkan separuh.
“Kerajaan Negeri akan mengurangkan duti hiburan pada tahun 2026 sebanyak 50 % berbanding tahun ini, iaitu dari 10% kepada 5% bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor dan Malaysia untuk menikmati aktiviti pementasan artis dari luar negara yang beraksi di Selangor,” kata Amirudin.
Sebelum ini, cukai hiburan ke atas konsert artis luar negara diturunkan daripada 25 menjadi 10 peratus berkuat kuasa pada 1 Januari lepas bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Kerajaan Negeri juga sebelum ini mengurangkan cukai hiburan bagi pameran bertiket daripada 25 kepada 15 peratus bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Menurut Dato’ Menteri Besar, insentif pengecualian dan pengurangan cukai hiburan ini diberikan susulan keupayaan Kerajaan Negeri meningkatkan hasil negeri melalui beberapa langkah baharu.
Minggu lalu, EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri bercadang melanjutkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 untuk setahun lagi seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, setakat Jun 2025, Selangor didatangi 4.14 juta pelancong berbanding 3.64 juta sepanjang tempoh sama pada tahun lalu, dengan 3 daripada setiap 10 orang adalah pelancong dari luar negara.
Selangor mensasarkan untuk menarik 8 juta pelancong tahun ini.






