ad

Khairat kematian RM1,000 diteruskan dengan peruntukan RM20 juta

14 Nov 2025, 10:26 AM
Khairat kematian RM1,000 diteruskan dengan peruntukan RM20 juta

SHAH ALAM, 14 NOV : Bantuan kematian menerusi Khairat Darul Ehsan (KDE) berjumlah RM1,000 diteruskan tahun hadapan dengan peruntukan RM20 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemohon berumur 50 tahun ke atas atau orang kelainan upaya boleh mendaftar untuk layak menerima manfaat khairat kematian kepada waris apabila meninggal dunia.

“KDE merupakan satu inisiatif untuk meringankan beban waris rakyat Selangor yang meninggal dunia melalui bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000,” katanya di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada Oktober lalu, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata seramai 91,197 individu telah mengemas kini maklumat permohonan Skim KDE sejak dibuka pada Jun hingga September.

Dalam tempoh sama sebanyak 1,473 tuntutan berjumlah RM1,000 setiap satu telah diterima di bawah inisiatif berkenaan.

Bantuan khairat kematian warga emas menerusi SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta, membolehkan waris berdaftar menerima RM500.

Skim KDE yang ditambah baik kini menawarkan pampasan lebih tinggi serta liputan kumpulan sasaran lebih luas, seiring usaha Kerajaan Negeri memartabatkan kebajikan rakyat Selangor.

Permohonan baharu atau kemas kini maklumat boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal kde.yawas.com.my.