Belanjawan Selangor 2026: Elaun latihan amali dinaikkan kepada RM1,500 sebulan

14 Nov 2025, 11:38 AM
Belanjawan Selangor 2026: Elaun latihan amali dinaikkan kepada RM1,500 sebulan

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Selangor akan menaikkan elaun latihan amali (internship) kepada RM1,500 sebulan bermula tahun depan bagi memastikan mahasiswa menerima imbuhan lebih wajar sepanjang menjalani latihan di agensi serta anak syarikat negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dibuat selepas meneliti kadar elaun sedia ada kurang berpatutan sehingga ada graduan menerima sekadar RM800 hingga RM900 sebulan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan disalurkan melalui Program Bakat Beraspirasi, Bersedia dan Berpengetahuan Selangor (SPARK) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

“Kerajaan Negeri akan menampung perbezaan bayaran mengikut kadar sedia ada supaya 500 graduan dan mahasiswa Selangor yang menjalani latihan amali di Selangor menerima elaun yang lebih wajar sebanyak RM1,500 sebulan.

"Ia melibatkan latihan amali di agensi Kerajaan Negeri, anak syarikat ataupun pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Amirudin berkata sebelum ini, graduan dan mahasiswa hanya menerima elaun antara RM800 hingga RM900 sebulan, menjadikan langkah ini sebagai peningkatan signifikan bagi membantu golongan muda Selangor.

Program ini juga sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa bakat muda Selangor, selain melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja berasaskan teknologi serta inovasi.