SHAH ALAM, 15 NOV: Seramai 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL) bagi kemasukan September 2026 akan ditanggung 50 peratus yuran pengajian oleh Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu melibatkan peruntukan RM17.378 juta, menerusi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan di bawah Institusi Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Selangor pada 2026.
“Ia sebagai menyahut hasrat menawarkan pendidikan percuma yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan Persekutuan 2026 baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri akan menanggung 50 peratus yuran pengajian bagi 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UIS dan UNISEL bagi sesi September 2026.

“Dengan kata lain, Kerajaan Negeri menawarkan 50 peratus pendidikan percuma kepada anak-anak Selangor khususnya di UIS dan UNISEL,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, semalam.
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri memperuntukkan RM31,511,600 bermula tahun depan bagi pembayaran manfaat RM1,500 kepada 21,295 Ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kelahiran 2008 yang mencapai umur 18 tahun.
“TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 akhirnya membuahkan hasil. Ahli TAWAS yang pernah menerima manfaat set persekolahan Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) ketika memasuki darjah satu kini akan menerima pula manfaat RM1,500 sebaik mencapai umur 18 tahun,” katanya.






