Krisis Asia Barat: Ini 15 inisiatif baharu Selangor bernilai RM209.26 juta

19 Jun 2026, 12:00 PM
Krisis Asia Barat: Ini 15 inisiatif baharu Selangor bernilai RM209.26 juta

SHAH ALAM, 19 JUN: Krisis geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan tenaga global serta laluan perdagangan penting dunia melalui Selat Hormuz mendorong Kerajaan Selangor memperkenalkan 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta di bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Langkah itu diumumkan bagi membantu rakyat, usahawan, petani, nelayan, pencari kerja dan industri berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan serta risiko kehilangan pekerjaan.

Berikut adalah 15 inisiatif yang dibentangkan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor:

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 ketika Sidang Khas Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex pada 19 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

1. Pengurangan sewa premis PBT (RM4.5 juta)

Kerajaan Negeri menawarkan pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2026.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan 21,234 peniaga dan dilaksanakan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan.

2. Projek Selangor Penyayang (RM14 juta)

Sebanyak RM14 juta diperuntukkan bagi memperkukuh fasiliti awam dan kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh Selangor.

Inisiatif ini melengkapkan usaha Kerajaan Negeri meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan yang lebih baik.

3. Selangor Advance (SA500) (RM100 juta)

Program Selangor Advance diperluaskan dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu aliran tunai syarikat yang terlibat dalam projek kerajaan negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Langkah itu dijangka memanfaatkan 500 syarikat dan kontraktor yang berdepan cabaran peningkatan kos operasi.

4. Pembiayaan Dana Pantas Usahawan (RM20 juta)

Melalui kerjasama Yayasan HIJRAH dan PLATS, usahawan boleh memohon pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.

Inisiatif ini dijangka membantu 2,000 usahawan memulakan atau meluaskan perniagaan mereka.

5. Inisiatif Pemulihan Usahawan Selangor

Kerajaan Negeri turut menawarkan kemudahan penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.

Seramai 6,000 peminjam Yayasan HIJRAH boleh memohon kemudahan tersebut tanpa dikenakan faedah tambahan atau caj penalti.

G.Thilagavthy, 44 merupakan salah seorang usahawan Yayasan HIJRAH yang mengusahakan perniagaan rempah di Bukit Sentosa, Rawang. Gambar file pada 5 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

6. Transisi Kerjaya PLATS (RM4 juta)

Program ini memberi peluang kepada individu yang kehilangan pekerjaan untuk menceburi bidang keusahawanan melalui latihan dan pendedahan kepada strategi asas perniagaan.

Peserta turut menerima bantuan data internet selama 12 bulan, elaun perjalanan serta akses kepada ekosistem perniagaan PLATS.

7. Program Kerjaya Selangor (RM1.5 juta)

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memadankan kemahiran pencari kerja dengan keperluan industri.

Seramai 30,000 warga Selangor yang mencari peluang pekerjaan akan dilibatkan dalam program berkenaan tahun ini.

8. Bantuan Agropreneur Selangor (RM6 juta)

Kerajaan Negeri menambah bantuan kepada 2,469 penerima dalam kalangan petani dan nelayan mengikut keperluan masing-masing.

Mereka bakal menerima bantuan seperti baucar makanan ternakan, baja, baucar bahan api atau bantuan tunai antara RM300 hingga RM600.

9. Moratorium Smart Sewa Selangor (RM2.22 juta)

Penyewa di bawah program Smart Sewa akan ditawarkan moratorium sewaan selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2026.

Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada 1,012 penyewa di seluruh Selangor.

10. Moratorium Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri (RM2.54 juta)

Kerajaan Negeri turut menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman perumahan selama tiga bulan kepada penjawat awam negeri yang layak.

Langkah itu dijangka memanfaatkan 2,333 peminjam.

11. Pembiayaan Daya Tahan Usahawan Tani (RM7 juta)

Seramai 500 usahawan tani akan ditawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 seorang melalui Yayasan HIJRAH.

Kerajaan Negeri akan menanggung kos faedah bagi membolehkan pembiayaan itu diberikan tanpa faedah.

12. Biasiswa Pendidikan Kita Selangor (RM17 juta)

Biasiswa baharu diperkenalkan bagi membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian dalam bidang yang menjadi kepentingan negeri.

Antaranya termasuk elektrik dan elektronik, sains hayat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan serta automasi.

13. Teraju IKTISASS (RM20 juta)

Program ini memberi fokus kepada pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.

Antara manfaatnya ialah pensijilan AI di bawah Google kepada 500 guru, pensijilan profesional industri kepada 500 peserta dan Pensijilan Kemahiran Malaysia kepada 1,000 peserta.

14. Mama Kerja (tambahan RM5 juta)

Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM5 juta menjadikan jumlah keseluruhan program ini RM10 juta.

Bantuan RM1,000 akan diberikan kepada wanita yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah yang ditempatkan di taska atau pusat penjagaan.

15. Rebat Cukai Taksiran 100% (RM5.5 juta)

Rebat cukai taksiran penuh ditawarkan kepada pemilik rumah yang memasang teknologi hijau di kediaman mereka.

Antaranya pemasangan panel solar, sistem penuaian air hujan, sistem kitar semula, sistem pengkomposan sisa makanan dan unit pengecas kenderaan elektrik (EV).

Secara keseluruhan, 15 inisiatif di bawah Fasa 2 memberi tumpuan kepada perlindungan rakyat, pengukuhan perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan bakat serta galakan penggunaan teknologi hijau.

Jumlah keseluruhan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor kini mencecah RM355.06 juta, termasuk RM145.8 juta yang diperuntukkan bagi tujuh inisiatif Fasa 1.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.