SHAH ALAM, 21 NOV : Selangor mempunyai potensi besar membangunkan rangkaian gantian optik berkelajuan tinggi (Dark Fiber) susulan lokasi strategiknya di antara Thailand dan Singapura.
Singapura mempunyai rangkaian data bawah laut paling banyak, manakala Thailand menjadi pusat rangkaian data ke negara daratan Asia Tenggara
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, dengan mengenalpasti rangkaian bawah laut berdekatan Banting sebagai pusat data utama, ‘Dark Fiber’ adalah projek yang tidak boleh dilepaskan.
“Ini adalah rangkaian utiliti yang kita tidak boleh lepaskan, dengan penanaman fiber optik ‘Dark Fiber’, pusat data akan membuat bayaran setahun awal jika mereka memerlukan rangkaian tersebut.
“Sehingga kini Selangor sudah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dan dananya sedang dimuktamadkan, dan saya percaya Selangor boleh buat kerana lokasinya paling strategik,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Untuk rekod, terdapat 39 buah pusat data yang sudah beroperasi di Selangor.
“Rangkaian ‘Dark Fiber’ ini kita boleh sampai ke Negeri Sembilan, juga hingga ke Johor, dan jaringan sepanjang lebih 800 kilometer itu sudah dikenalpasti dan boleh menyumbang RM196 juta dalam tempoh tiga hingga ke lima tahun dari sekarang,” katanya.
Pada Belanjawan Selangor 2026 lalu, Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan membangunkan pelan induk Selangor Dark Fiber Network melalui melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Smartsel Sdn Bhd.
Selain daripada manfaat fiskal, pelan dengan dana RM1 juta itu akan memperluaskan akses digital dan mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan separa bandar.




