Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terajui carta, temasya diwarnai insiden

17 Ogos 2026, 2:30 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terajui carta, temasya diwarnai insiden
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terajui carta, temasya diwarnai insiden
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terajui carta, temasya diwarnai insiden
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terajui carta, temasya diwarnai insiden
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terajui carta, temasya diwarnai insiden

SHAH ALAM, 17 OGOS: Setakat 9.25 malam, hari ketiga Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor menguasai kedudukan pingat dengan 14 emas, 15 perak dan sembilan gangsa bagi keseluruhan 38 pingat. Terengganu berada di kedudukan kedua dengan 13 emas, 20 perak dan tujuh gangsa, manakala Johor ketiga dengan 11 emas, 12 perak dan 10 gangsa. Sarawak pula menghuni tangga keempat dengan 10 emas, enam perak dan 13 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan serta Pulau Pinang yang masing-masing meraih sembilan emas.

Namun, perjalanan temasya hari ini bukan hanya berkisar tentang perebutan pingat apabila arena SUKMA diselubungi berita duka susulan pemergian jurulatih sofbol lelaki Terengganu, Wan Mohd Shymin Amirul Wan Mohd Sofli, selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika perlawanan semalam.

Pasukan perubatan memberikan rawatan kepada seorang atlet yang terjejas selepas beraksi dalam cuaca panas pada acara olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Situasi mencemaskan turut tercetus di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila lebih enam atlet dilaporkan mengalami dehidrasi dan strok haba ketika mengharungi saingan olahraga dalam cuaca panas, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap aspek keselamatan serta kesesuaian jadual pertandingan.

Di sebalik episod duka dan cemas itu, kem Selangor terus memperkukuh kedudukan di persada pingat menerusi beberapa pencapaian penting. Skuad polo air lelaki dan wanita masing-masing menyumbang perak, diikuti Adania Mohd Redzwan dalam tenpin boling serta Muhammad Daniel Haqiem dalam acara 400 meter lelaki, sementara beberapa acara lain terus menawarkan peluang kepada kontinjen tuan rumah menambah kilauan pingat.

Cuaca panas cetus situasi cemas

Situasi cemas berlaku di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila lebih enam atlet dilaporkan mengalami dehidrasi dan strok haba ketika beraksi dalam acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan wanita dalam suhu melebihi 33 darjah Celsius.

Petugas perubatan segera memberikan rawatan kepada atlet yang terjejas, termasuk pelari Selangor Siti Nur Fatihah Mohamad Adham yang rebah ketika hanya berbaki kira-kira 30 meter untuk menamatkan perlumbaan.

Insiden itu sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kesesuaian waktu pertandingan bagi acara jarak jauh dalam keadaan cuaca panas.

Pelari Selangor, Muhammad Daniel Haqiem meraikan kejayaan meraih pingat perak acara 400 meter lelaki SUKMA 2026 selepas mencatat masa 47.61 saat di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Jurulatih sofbol Terengganu meninggal dunia

Jurulatih pasukan sofbol lelaki Terengganu, Wan Mohd Shymin Amirul Wan Wan Mohd Sofli meninggal dunia hari ini selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika perlawanan berlangsung, semalam.

Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri ketika aksi pasukan sofbol lelaki Terengganu menentang Negeri Sembilan, semalam di Padang Softbol, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam perlawanan itu, Terengganu mencatat kemenangan 14-9 ke atas Negeri Sembilan, manakala pasukan wanita negeri berkenaan turut melakar kemenangan besar 21-1 ke atas Kelantan.

Dunia sukan tanah air dikejutkan dengan pemergian jurulatih pasukan sofbol lelaki Terengganu, Shymin Amirul Wan Mohd Sofli.

Catatan peribadi terbaik iringi pingat perak Daniel Haqiem

Kem olahraga Selangor kembali ceria pada sebelah petang hari kedua SUKMA 2026 apabila Muhammad Daniel Haqiem menyumbang pingat perak acara 400 meter lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Haqiem menamatkan saingan dengan catatan 47.61 saat, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik yang dilakarnya pada peringkat separuh akhir sebelah pagi.

Pingat emas menjadi milik pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin, manakala rakan senegerinya, Muhammad Farhan, meraih gangsa.

Atlet olahraga Selangor Muhammad Daniel Haqiem.

Kuartet 4x100 meter lelaki Selangor raih gangsa

Kontinjen Selangor terus menambah kutipan pingat dalam acara olahraga apabila kuartet 4x100 meter lelaki meraih gangsa pada SUKMA 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kuartet dibarisi Ahmad Sufi Mohd Faiesal, Danish Irfan Thamrin, Muhammad Aryan Syahmi dan Muhammad Danysh Ashraff menamatkan saingan dengan catatan 40.29 saat, sekali gus merekodkan masa terbaik pasukan pada temasya kali ini.

Johor meraih emas dengan rekod baharu kejohanan, manakala Sabah membawa pulang perak.

Menurut Danish Irfan, kejayaan menaiki podium cukup bermakna buat kuartet Selangor yang menggabungkan atlet berpengalaman dan muka baharu, lebih-lebih lagi mereka hanya sempat menjalani empat sesi latihan bersama sebelum turun beraksi.

Kuartet 4x100 meter lelaki Selangor, Ahmad Sufi Mohd Faiesal, Danish Irfan Thamrin, Muhammad Aryan Syahmi dan Muhammad Danysh Ashraff meraikan kejayaan meraih pingat gangsa SUKMA 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Polo air lelaki raih perak

Skuad polo air lelaki Selangor menamatkan saingan SUKMA 2026 dengan pingat perak selepas tewas 6-9 kepada Sarawak dalam aksi final di Pusat Akuatik Selangor.

Skuad kendalian Ko Hyang Kwuaon bermula baik apabila mendahului 2-1 pada suku pertama, namun Sarawak bangkit untuk mendahului 3-2 pada suku kedua sebelum melebarkan kelebihan kepada 5-4 pada suku ketiga.

Selangor terus memberikan tentangan sehingga penghujung permainan, namun Sarawak kekal ampuh untuk menutup perlawanan dengan kemenangan 9-6, sekali gus memaksa tuan rumah berpuas hati sebagai naib juara.

Pasukan Selangor berjaya menewaskan pasukan Negeri Sembilan 14-12 dalam kejohanan polo air lelaki SUKMA Selangor di Pusat Akuatik, Shah Alam pada 16 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Polo air wanita Selangor raih perak selepas aksi sengit final

Skuad polo air wanita Selangor turut menyumbang pingat perak selepas tewas tipis 10-12 kepada Sarawak dalam aksi final SUKMA 2026 di Pusat Akuatik Selangor.

Pasukan kendalian Sarah Ann Thorp ketinggalan 2-4 pada suku pertama sebelum Sarawak melebarkan kelebihan kepada 6-3 pada suku kedua dan 9-6 pada suku ketiga.

Selangor cuba bangkit pada suku terakhir dan terus memberikan tekanan bagi merapatkan jurang, namun Sarawak bertahan untuk menutup perlawanan dengan kemenangan 12-10.

Keputusan itu menyaksikan skuad wanita Selangor menamatkan kempen sebagai naib juara, sekali gus menambah satu lagi pingat perak buat kontinjen tuan rumah.

Pasukan polo air wanita Selangor raih pingat perak selepas tewas 10-12 kepada Sarawak di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor pada 17 Ogos 2026. Foto Nadhirah Fattah/MEDIASELANGOR

Jurulatih puji semangat pemain polo air wanita

Jurulatih polo air wanita Selangor, Sarah Ann Thorp, tetap berbangga dengan perjuangan anak buahnya meskipun terpaksa akur tewas 10-12 kepada Sarawak dalam aksi final SUKMA 2026 di Pusat Akuatik Selangor.

Menurut Sarah Ann, barisan pemain Selangor telah memberikan segala-galanya sepanjang perlawanan dan terus memberikan tentangan meskipun berada dalam kedudukan ketinggalan.

“Apa pun keputusannya, semua pemain telah berjuang sehabis baik dan memberikan segala-galanya. Mereka cuba melakukan yang terbaik pada setiap saat permainan dan tidak pernah berputus asa,” katanya kepada Media Selangor.

Jurulatih polo air wanita Selangor Sarah Ann Thorp. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Adania hadiahkan pingat perak acara boling

Adania Mohd Redzwan menambah koleksi pingat Selangor apabila meraih perak acara perseorangan wanita tenpin boling pada SUKMA 2026.

Beraksi dalam enam set, Adania bermula kurang meyakinkan sebelum bangkit pada set berikutnya, termasuk memberikan saingan pada set terakhir dalam usaha memburu kedudukan teratas.

Namun, kebangkitan itu belum cukup untuk meraih emas apabila beliau menamatkan saingan dengan 1,306 jatuhan pin, hanya 38 pin di belakang pemenang.

Adania Mohd Redzwan (kanan) menghadiahkan pingat perak kepada Selangor dalam acara perseorangan wanita tenpin boling pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22

Sepak takraw lelaki berpasukan: Selangor tewaskan Sarawak 3-0

Skuad sepak takraw berpasukan lelaki Selangor meneruskan rentak positif apabila menewaskan Sarawak 3-0 dalam saingan Kumpulan B SUKMA 2026 di Arena MBSJ, Puchong.

Selangor menguasai perlawanan sejak awal apabila regu pertama dan kedua masing-masing mencatat kemenangan 2-0 sebelum regu ketiga melengkapkan kemenangan dengan keputusan sama.

Kejayaan menyapu bersih ketiga-tiga regu itu memberikan momentum kepada skuad tuan rumah untuk meneruskan cabaran peringkat kumpulan menentang Sabah.

Selangor berjaya menewaskan Sarawak 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan B sepak takraw berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Arena MBSJ, Puchong. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Nur Alyaa Nazurah buru emas acara campuran memanah

Atlet memanah Selangor, Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz, mencatat rekod peribadi terbaik apabila mengumpul 676 mata dalam pusingan kelayakan Compound Wanita 50 meter SUKMA 2026 di Stadium INSPEN.

Catatan itu meletakkannya di kedudukan keenam, hanya empat mata dipisahkan daripada tempat ketiga.

Meskipun terlepas podium, Nur Alyaa tetap berpuas hati dengan pencapaiannya dan kini mengalihkan fokus untuk memburu pingat emas dalam acara campuran selepas berjaya melayakkan diri.

Atlet memanah Selangor, Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz.

Az Zikry raih tempat kelima angkat berat 71kg

Atlet angkat berat Selangor, Muhamad Az Zikry Mohd menamatkan saingan kategori lelaki 71 kilogram (kg) di tempat kelima dengan jumlah angkatan 229kg pada SUKMA 2026 di Dewan Seri Cempaka MPKJ.

Dalam penampilan pertamanya di pentas SUKMA, Az Zikry tetap berpuas hati apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.

Pingat emas menjadi milik atlet Perlis, Muhammad Aimran Syahir Roslin dengan jumlah angkatan 275kg, diikuti Muhammad Amin Khairul Anuar dari Pahang dengan 263kg, manakala Izzat Hazmi Tanaim Ishak dari Terengganu meraih gangsa dengan 256kg.

Atlet Selangor, Muhamad Az Zikry Mohd meraih kedudukan kelima dalam kategori lelaki 71 kilogram (kg) selepas merekodkan angkatan 229kg pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ke-22 di Dewan Seri Cempaka MPKJ, di sini, hari ini.

Pelajar UPM bangga jadi sukarelawan

Di sebalik aksi dan perebutan pingat, Nur Lidiya Syazwani turut mencipta pengalaman tersendiri apabila berkhidmat sebagai sukarelawan SUKMA 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), tempat beliau menuntut ilmu.

Pelajar tahun dua Ijazah Teknologi Makanan berusia 20 tahun itu ditugaskan di Stadium UPM bagi membantu pengurusan acara olahraga, khususnya mengendalikan barangan peribadi atlet.

Bagi anak jati Serdang itu, peluang berkhidmat di universiti sendiri sambil menyaksikan atlet terbaik negara beraksi dari jarak dekat menjadi pengalaman berharga sepanjang penganjuran temasya.

Pelajar tahun dua Ijazah Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Nur Lidiya Syazwani menjad sukarelawan SUKMA 2026.

Untuk saingan esok, tumpuan beralih kepada beberapa acara yang memasuki fasa penting, antaranya petanque beregu lelaki dan wanita di peringkat awal dan kalah mati serta bola jaring membabitkan pertemuan Selangor dan Kedah dalam Kumpulan C. Saingan memanah recurve lelaki dan wanita pula memasuki pusingan kelayakan yang menawarkan pingat, selain acara olahraga yang diteruskan mengikut jadual pertandingan.

Perebutan pingat dijangka semakin rancak menerusi boling padang apabila kategori pairs/triples lelaki dan fours wanita memasuki perlawanan pingat gangsa dan emas. Kriket lelaki turut menjadi tumpuan dengan Selangor berdepan Johor dalam perebutan pingat emas, manakala kabaddi lelaki dan wanita memasuki peringkat penentuan pingat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.