
KAJANG, 17 OGOS: Atlet Selangor, Muhamad Az Zikry Mohd meraih kedudukan kelima dalam kategori lelaki 71 kilogram (kg) selepas merekodkan angkatan 229kg pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ke-22 di Dewan Seri Cempaka MPKJ, di sini, hari ini.
Pada acara berkenaan, atlet Perlis, Muhammad Aimran Syahir Roslin mengungguli saingan dengan angkatan 125kg pada acara snatch, diikuti Sarawak di tempat kedua dengan 115kg dan Terengganu 110kg.
Muhammad Aimran meneruskan rentak cemerlang dengan kejayaan meraih pingat emas acara lelaki 71kg selepas mencatat angkatan keseluruhan 275kg.
Mengikuti di tempat kedua, atlet Pahang, Muhammad Amin Khairul Anuar dengan angkatan 263kg dan atlet Terengganu, Izzat Hazmi Tanaim Ishak meraih gangsa dengan angkatan 256kg.
Sementara itu, Muhammad Az Zikry berkata, beliau tetap berpuas hati meraih tempat lima terbaik dalam percubaan pertamanya pada SUKMA kali ini.
"Saya pun tak sasar dapat kedudukan lima terbaik. Walaupun ada sedikit gangguan pada angkatan pertama, saya tetap bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan ini," katanya kepada Media Selangor.
Biarpun tidak meletakkan sasaran sebarang pingat, beliau menganggap pengalaman beraksi di pentas tertinggi ini sebagai platform berharga untuk menilai keupayaan diri.
Mengulas lanjut, Muhammad Az Zikry bertekad untuk merangkul pingat emas pada edisi SUKMA akan datang.
"Insya-Allah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan emas dua tahun lagi," ujarnya.
Dalam saingan kategori Wanita 58kg, atlet Perak, Nurqalida Umirah Abdullah muncul juara selepas merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 164kg, diikuti atlet Sarawak, Irene Tiang Ming Jie dengan 130kg untuk pingat perak, manakala Siti Nur Alia Maisarah Suid dari Pahang meraih gangsa dengan jumlah 123kg.







