SUKMA 2026: Kuartet 4x100 meter lelaki Selangor raih pingat gangsa

17 Ogos 2026, 10:58 AM
SUKMA 2026: Kuartet 4x100 meter lelaki Selangor raih pingat gangsa

SERDANG, 17 OGOS: Kontinjen Selangor menambah satu lagi kutipan pingat menerusi acara olahraga selepas kuartet 4x100 meter lelaki meraih gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Kuartet yang dibarisi Ahmad Sufi Mohd Faiesal, Danish Irfan Thamrin, Muhammad Aryan Syahmi dan Muhammad Danysh Ashraff mencatatkan masa 40.29 saat, sekali gus merekodkan catatan terbaik pasukan pada temasya kali ini.

Pingat emas menjadi milik kuartet Johor yang turut menyaksikan mereka melakar rekod baharu kejohanan manakala Sabah meraih perak.

Danish Irfan yang mengetuai kuartet berkenaan menyifatkan kejayaan meraih gangsa sebagai sesuatu yang cukup bermakna selepas mereka mempertaruhkan gabungan atlet berpengalaman dan muka baharu.

Menurutnya, persiapan pasukan juga agak terhad apabila mereka hanya sempat menjalani empat sesi latihan bersama sebelum turun beraksi.

“Kami berpuas hati kerana dalam SUKMA kali ini kami mencampurkan atlet lama dan baharu. Kami hanya dapat berlatih sebanyak empat sesi sahaja dan bagi kami ini adalah rezeki.

“Persaingan sangat sengit pada SUKMA kali ini. Catatan pelari negeri lain sangat baik dan ia sedikit memberi tekanan buat kami tetapi akhirnya kami berjaya mengatasinya dan memberikan pingat buat Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Danish berkata, peluang untuk berada di podium turut hadir selepas kuartet Kedah yang sebelum itu dilihat sebagai antara pencabar terpaksa berdepan insiden kemalangan ketika perlumbaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan tersebut tetap hasil usaha seluruh pasukan yang berusaha memberikan aksi terbaik meskipun dengan persiapan yang singkat.

Kuartet Selangor itu berharap kejayaan meraih gangsa dapat menjadi suntikan semangat kepada seluruh Kontinjen Selangor untuk terus memburu lebih banyak pingat dalam baki saingan SUKMA 2026.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.