
SHAH ALAM, 22 OGOS: Selangor terus kukuh di puncak kedudukan pingat SUKMA 2026 selepas mengumpul 75 emas, 57 perak dan 51 gangsa untuk keseluruhan 183 pingat.
Kontinjen tuan rumah kini hanya memerlukan lima lagi pingat emas untuk mencapai sasaran 80 emas. Terengganu berada di tempat kedua dengan 37 emas, diikuti Wilayah Persekutuan (35) dan Sarawak (34), sekali gus menyaksikan Selangor memiliki kelebihan 38 emas di persada carta.
Gimnastik: Cadence Teh rangkul emas berganda
Gimnas Selangor Cadence Teh Zi Qi meraih emas berganda pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mempertahankan kejuaraan acara all-around individu wanita, selain membantu tuan rumah merangkul emas berpasukan hari ini.
Cadence mengekalkan kejuaraan acara all-around individu dengan mengumpul 48.550 mata menerusi 12.050 mata dalam acara melombol, 11.400 mata palang bertingkat, 13.350 mata batang titian dan 11.750 mata senaman lantai.
Beliau mengakui permulaannya agak kurang baik selepas terjatuh ketika beraksi di palang bertingkat, namun bangkit mempamerkan persembahan lebih mantap dalam tiga acara berikutnya untuk mempertahankan kejuaraan.

Kem memanah Selangor menghadiahkan pingat emas pertama pada SUKMA 2026 menerusi acara recurve berpasukan campuran di Stadium INSPEN, pagi ini.
Gandingan Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli dan Muhammad Rizq Arif Kharul Nezam tampil cemerlang apabila menewaskan wakil Pulau Pinang, M Khiritigaa dan Ammar Muhaimi Md Shuhaidi 6-0 pada aksi final.
Selangor menguasai saingan sejak awal dengan merekodkan 38, 36 dan 37 mata dalam tiga set pertama untuk memastikan pingat emas menjadi milik kontinjen negeri.
Muhammad Rizq menyifatkan kejayaan itu cukup bermakna apabila menghadiahkannya emas sulung pada penampilan kedua di pentas SUKMA.
Sementara itu, Nur Ieka menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah paling bermakna buat kedua-dua ibu bapanya yang hadir memberikan sokongan di stadium.

Kiranjenifeer sumbang gangsa silambam
Atlet Selangor Kiranjenifeer Danchill meraih pingat gangsa acara silambam thanithiramai stick individu wanita di Stadium MBSJ, Serdang Jaya.
Kiranjenifeer mengumpul 8.467 mata untuk menduduki tempat ketiga, hanya 0.233 mata di belakang wakil Perak yang meraih perak dengan 8.700 mata.
Emas menjadi milik Pulau Pinang yang mencatat 8.703 mata dalam persaingan sengit apabila jurang antara tiga pemenang pingat sangat tipis.
Uzlifatil, Ayu hadiahkan gangsa terjun
Selangor menambah pungutan pingat menerusi gandingan Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ayu Syuhaida Khairul yang meraih gangsa acara 3 meter papan anjal seirama wanita.
Gandingan itu mengumpul 209.01 mata untuk menghadiahkan satu lagi pingat kepada kontinjen negeri.
Namun, kem silambam belum selesai mencuri tumpuan. Kembali di Stadium MBSJ, kilauan gangsa terdahulu disusuli pingat lebih berharga menerusi aksi individu lelaki.

Preteish raih emas silambam individu lelaki
Atlet Selangor Preteish Anbucelvan meraih emas acara silambam individu lelaki selepas mengumpul mata tertinggi pada SUKMA Selangor 2026.
Preteish mencatat 11.400 mata untuk menduduki tempat pertama, sekali gus menambah koleksi emas skuad tuan rumah.
Kejayaan itu kemudian dilengkapkan Sasmita A. Ravi yang memastikan kem silambam Selangor terus berpesta emas.

Sasmita tambah emas silambam wanita
Sasmita menghadiahkan satu lagi pingat emas kepada Selangor selepas mengungguli acara silambam thanithiramai kuthu varisai individu wanita.
Beliau mengumpul 10.9 mata untuk menduduki tempat pertama selepas menampilkan persembahan konsisten dengan gerakan tajam, kemas dan terkawal.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi pencapaian Selangor dalam acara silambam pada temasya kali ini.

Selangkah lagi sapu emas bola sepak, futsal
Kejayaan skuad futsal lelaki dan wanita Selangor meraih pingat emas disifatkan sebagai pencetus kebangkitan semula bola sepak negeri untuk kembali mendominasi arena sukan negara.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pencapaian itu membuktikan usaha pembangunan sukan di Selangor mula membuahkan hasil apabila atlet muda berjaya menampilkan prestasi cemerlang.
Semangat juang sama turut dipamerkan kem tenpin boling wanita apabila mereka bangkit daripada kedudukan sukar untuk mencipta kemenangan dramatik.

Kebangkitan dramatik skuad boling tuai emas
Ketinggalan 191 pin pada blok pertama tidak mematahkan semangat skuad tenpin boling wanita Selangor apabila bangkit meraih pingat emas acara lima berpasukan semalam.
Ketua jurulatih Mustafa Yassin berkata anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya mengurangkan defisit berkenaan sehingga aksi berakhir.
Detik paling mendebarkan hadir pada frame terakhir apabila Adania Mohd Redzwan perlu melakukan dua strike bagi memastikan pingat emas menjadi milik Selangor.

Pelayaran sumbang dua emas, satu perak
Kem pelayaran Selangor menyumbang dua emas menerusi pasangan adik-beradik Muhammad Zafir Mohd Zailan dan Nur Zafrina Shuhada Mohd Zailan yang masing-masing mengungguli acara ILCA 7 lelaki dan ILCA 6 wanita.
Nur Badrina Husna Hamidon melengkapkan kutipan pingat Selangor dengan meraih perak acara Optimist Individu Wanita.

Renang Selangor terus berpesta emas
Kem renang Selangor terus mendominasi saingan apabila meraih lima emas dan satu gangsa di Pusat Akuatik Selangor hari ini.
Shannon Tan Yang-Qing mengungguli 100 meter kuak kupu-kupu wanita untuk meraih emas kelima peribadi, manakala Yuan Yi Chong dan Goh Li Hen masing-masing menjuarai 400 meter gaya bebas wanita serta 100 meter kuak kupu-kupu lelaki. Aslan Adnan pula meraih gangsa 400 meter gaya bebas lelaki.
Kecemerlangan diteruskan dalam acara berganti-ganti apabila kuartet wanita Selangor memenangi 4x200 meter gaya bebas dengan rekod baharu SUKMA 8:36.12, manakala kuartet lelaki turut meraih emas acara sama selepas menewaskan Pulau Pinang dengan kelebihan hanya 0.37 saat.

Kem berbasikal Selangor meraih dua pingat perak menerusi Yong Ann Tung dalam acara keirin wanita individu serta skuad pecut berpasukan lelaki yang tewas kepada Johor pada aksi final.
Ann Tung turut mencatat pencapaian peribadi apabila berjaya memperbaharui rekod terbaiknya dalam acara berkenaan.

Secara keseluruhan, hari ketujuh menyaksikan pingat terus hadir dari gelanggang ke gelanggang, dengan Selangor mengekalkan momentum ketika SUKMA 2026 semakin menghampiri fasa penentuan.







