Pelajar UPM bangga jadi sukarelawan di universiti sendiri, beri pengalaman berharga

17 Ogos 2026, 3:32 AM
Pelajar UPM bangga jadi sukarelawan di universiti sendiri, beri pengalaman berharga

SERDANG, 17 OGOS: Peluang menjadi sukarelawan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dimanfaatkan sebaiknya oleh Nur Lidiya Syazwani yang berbangga dapat membantu memastikan kelancaran temasya di universiti tempat beliau menuntut ilmu.

Pelajar tahun dua Ijazah Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau tidak melepaskan peluang memohon sebagai sukarelawan sebaik sahaja pendaftaran dibuka.

Nur Lidiya, 20, ditempatkan di Stadium UPM bagi membantu pengurusan acara olahraga, khususnya menguruskan barangan peribadi atlet.

Lebih istimewa, anak jati Serdang itu menyifatkan tugasan berkenaan sebagai pengalaman berharga kerana dapat berkhidmat di universiti sendiri, selain berpeluang menyaksikan atlet terbaik negara beraksi dari jarak dekat.

“Saya memang menunggu peluang menjadi sukarelawan dan gembira apabila terpilih. Lebih seronok apabila ditugaskan di universiti sendiri.

“Seronok dapat melihat atlet hebat dengan lebih dekat dan membantu mereka ketika persiapan. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan ketenangan kepada atlet untuk beraksi dengan lebih baik,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, pengalaman berinteraksi dengan atlet serta membantu memastikan kelancaran pertandingan memberikan pengalaman baharu yang sukar diperoleh sepanjang bergelar mahasiswa.

Sebagai anak jati Selangor, Nur Lidiya turut berharap Kontinjen Selangor mampu memberikan aksi terbaik dan muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.

“Selamat maju jaya buat Kontinjen Selangor. Saya sebagai warga Serdang berazam memberikan yang terbaik sebagai sukarelawan dan membawa nama baik Universiti Putra Malaysia,” katanya.

Lebih 1,000 sukarelawan dipilih bagi membantu memastikan kelancaran operasi dan pengurusan sepanjang penganjuran SUKMA 2026 di Selangor.

Penglibatan sukarelawan, termasuk pelajar universiti, bukan sahaja membantu kelancaran temasya, malah membuka peluang kepada mereka menimba pengalaman dalam pengurusan acara sukan bertaraf kebangsaan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.