
SERDANG, 17 OGOS: Situasi cemas berlaku di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila lebih enam atlet dilaporkan mengalami dehidrasi dan strok haba ketika bertanding dalam cuaca panas pada hari kedua acara olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Keadaan itu berlaku ketika acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang, dengan suhu dilaporkan melebihi 33 darjah Celsius.
Keadaan di kawasan pondok perubatan turut menjadi tumpuan apabila petugas medik bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada beberapa atlet yang kelihatan tidak bermaya selepas menamatkan perlumbaan.
Antara yang terjejas ialah pelari Selangor, Siti Nur Fatihah Mohamad Adham yang hanya berbaki kira-kira 30 meter untuk menamatkan perlumbaan sebelum rebah selepas gagal melepasi halangan terakhir.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai kontinjen dan penyokong yang berada di stadium, selain menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian waktu pertandingan bagi acara larian jarak jauh dalam keadaan cuaca panas.
Beberapa wakil kontinjen yang ditemui Media Selangor turut menyuarakan rasa kurang berpuas hati terhadap penetapan jadual pertandingan berkenaan.
Menurut mereka, bantahan mengenai waktu perlumbaan sudah disuarakan sebelum ini namun keputusan untuk meneruskan acara pada sebelah petang tetap dibuat oleh urusetia.
“Kami sudah membantah mengenai masa perlumbaan tetapi urusetia tetap berkeras dengan keputusan mereka dan ini menyebabkan perkara yang tidak diingini seperti ini berlaku kepada atlet.
“Kasihan kepada mereka yang sudah berlatih sepenuh hati namun digagalkan perkara seperti ini. Perkara ini boleh dielakkan sekiranya nasihat kami didengar,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan pantas pasukan perubatan di Stadium UPM wajar diberikan pujian apabila mereka segera memberikan rawatan kepada atlet yang terjejas.
Pasukan ambulans turut berada dalam keadaan bersedia bagi membawa atlet ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sekiranya keadaan memerlukan rawatan lanjut.
Insiden berkenaan diharap menjadi perhatian pihak berkaitan untuk menilai semula aspek keselamatan dan kesesuaian jadual pertandingan, khususnya bagi acara jarak jauh yang memerlukan tahap ketahanan fizikal tinggi dalam keadaan cuaca panas.







