Rangkuman SUKMA 2026: Kilauan tiga emas, Selangor terus buru podium

16 Ogos 2026, 2:37 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Kilauan tiga emas, Selangor terus buru podium
Rangkuman SUKMA 2026: Kilauan tiga emas, Selangor terus buru podium
Rangkuman SUKMA 2026: Kilauan tiga emas, Selangor terus buru podium
Rangkuman SUKMA 2026: Kilauan tiga emas, Selangor terus buru podium

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kontinjen Selangor mengutip tiga emas dan tiga perak pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 hari ini, dengan kem olahraga menjadi lubuk utama pingat menerusi satu emas dan dua perak.

Angkat berat turut menyumbang kilauan perak apabila Syaza Ilyana Maizan mengangkat keseluruhan 138 kilogram (kg) untuk menduduki tempat kedua kategori 53kg wanita.

Di Bagan Lalang, kem berbasikal lebuh raya Selangor masih memburu podium apabila Yap Qi Yi hampir menyumbang pingat selepas menamatkan ujian masa individu 30km lelaki di tempat keempat. Dua wakil wanita, Ell Reayanna Farhanie Mohd Farid dan Mas Mia Tueta Dania Mazlan pula masing-masing menduduki tempat keenam dan kesembilan dalam acara 20km.

Atlet angkat berat Selangor, Syaza Ilyana Maizan meraih pingat perak dalam kategori 53kg wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, di Stadium MPKJ, hari ini. Foto WAN KOYAN/ MEDIA SELANGOR

Buruan pingat Selangor belum terhenti apabila dua pesilat wanita, Nurul Saidatul Syafieqah Ibrahim dan Nurlaili Batrisyia Qistina Mohamad Saifurizal, mara ke suku akhir masing-masing bagi Kelas A dan Kelas B.

Secara keseluruhan, Selangor menuai enam pingat hari ini dengan tiga daripadanya berkilau emas, selain tiga perak, sekali gus memberi suntikan awal dalam misi kontinjen tuan rumah memburu lebih banyak podium pada SUKMA 2026.

Di sebalik perebutan pingat, kemeriahan SUKMA 2026 turut diwarnai pelbagai kisah dan perkembangan di luar gelanggang, termasuk persiapan venue, sokongan penyokong, perjalanan kontinjen serta suasana sekitar lokasi pertandingan. Elemen itu bukan sahaja melengkapkan bahang temasya, malah mencerminkan semangat kesukanan dan kemeriahan Selangor sebagai tuan rumah.

Dari Sabah hingga Johor, penyokong meriahkan SUKMA 2026

Semangat SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 bukan sahaja dirasai dalam kalangan atlet, malah turut dimeriahkan kehadiran penyokong dari serata negara.

Bagi Mohd Nasir Abdul Rahim, 37, dari Tawau, Sabah, perjalanan jauh bersama keluarga tidak menghalang mereka hadir memberi sokongan kepada abangnya yang menyertai acara lompat jauh pada temasya kali ini.

Mohd Nasir Abdul Rahim, 37, bersama keluarga datang dari Sabah untuk memeriahkan Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 15 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurutnya, beliau bersama lapan dewasa dan enam kanak-kanak dari Tawau dan Sandakan tiba di Selangor pada pagi semalam selepas menaiki penerbangan dari Negeri di Bawah Bayu itu.

Pengunjung gembira menyaksikan persembahan-persembahan artis ketika majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor ke-22 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 15 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Muhammad Ashraf hadiah emas judo buat arwah ibu

Lima tahun berjuang dalam sukan judo sejak usia 14 tahun akhirnya membuahkan hasil buat atlet Selangor, Muhammad Ashraf Md Khairuldin apabila meraih pingat emas kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.

Lebih bermakna, kejayaan itu didedikasikan kepada arwah ibunya yang menjadi sumber kekuatan Muhammad Ashraf sepanjang perjalanan sebagai atlet.

Atlet skuad tuan rumah itu berkata kejayaan berkenaan membuatkan segala penat lelah dan pengorbanannya sepanjang menjalani latihan selama ini terbalas, selain menjadi pencapaian cukup bermakna buat dirinya.

Atlet judo Selangor Muhammad Ashraf Md Khairuldin mara ke separuh akhir kategori lelaki tidak melebihi 81 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di IDCC Shah Alam pada 15 Ogos 2026. Foto WAN KOYAN/MEDIASELANGOR

Lim Mei Yin pecah rekod peribadi

Pelari pecut Selangor, Lim Mei Yin sekali lagi memperbaharui rekod peribadi untuk menghadiahkan pingat perak menerusi acara 100 meter wanita.

Atlet berusia 17 tahun itu mencatat masa 11.96 saat pada aksi final, sekali gus memperbaharui rekod peribadinya buat kali kedua dalam tempoh sehari selepas merekodkan 12.12 saat pada saingan separuh akhir.

Biarpun ini merupakan penampilan sulungnya di pentas SUKMA, Mei Yin mengakui teruja dengan pencapaian tersebut selepas segala usaha dan latihan konsisten selama setahun membuahkan hasil.

Pelari pecut Selangor, Lim Mei Yin menghadiahkan pingat perak menerusi acara 100 meter wanita pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 16 Ogos 2026. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

SUKMA jadi landasan perkasa bakat muda

SUKMA 2026 menjadi landasan penting untuk Selangor meneruskan pembangunan bakat muda dan memastikan negeri tidak ketandusan atlet berkualiti pada masa depan.

Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Azmi berkata usaha mencungkil dan menggilap atlet pelapis perlu dipergiat bagi memastikan kesinambungan generasi atlet negeri.

Menurut Abbas, bakat muda juga perlu diberikan lebih banyak pendedahan supaya mampu berkembang dan membawa nama Selangor ke peringkat lebih tinggi.

Wakil atlet membacakan ikrar ketika raptai penuh Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi. Foto WAN KOYAN/MEDIA SELANGOR

Isu jadual latihan kolam atlet Para SUKMA tidak berulang

Dalam pada itu, Dato’ Menteri Besar memberi jaminan isu berkaitan jadual penggunaan kolam yang menjejaskan sesi latihan atlet renang Para SUKMA 2026 tidak akan berulang sepanjang temasya berlangsung.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyelarasan jadual penggunaan kolam akan dibuat dengan mengambil kira keperluan latihan atlet, khususnya sepanjang berlangsungnya acara renang.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengibarkan bendera Selangor ketika Acara Perbarisan Kontinjen sempena Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 15 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Momentum positif suntik keyakinan Selangor

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata momentum positif yang diraih setakat ini menyuntik keyakinan Selangor dalam misi memburu kejuaraan keseluruhan.

Bagaimanapun kontinjen negeri tidak mahu terlalu selesa memandangkan persaingan masih terbuka.

Gandingan adik-beradik bola tampar pantai wanita Selangor, Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng, bergambar bersama pingat emas selepas menjuarai acara berkenaan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA, pada 15 Ogos 2026. Foto MEDIA SELANGOR

300 sukarelawan sertai perbarisan SUKMA 2026

Seramai 300 sukarelawan diberi penghargaan menerusi penyertaan dalam perbarisan kontinjen sempena Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Penyertaan itu menjadi simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya berkenaan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan SUKMA 2026, Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, penyertaan dalam perbarisan itu merupakan tanda penghargaan kepada sukarelawan yang menjadi antara penggerak utama kelancaran temasya.

Kontinjen Selangor tampil bersemangat sewaktu acara perbarisan sempena Majlis Pelancaran SUKMA Selangor memeriahkan malam perasmian di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
Kontijen Selangor bersorak ketika majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor ke-22 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 15 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, tumpuan utama saingan SUKMA Selangor 2026 esok terarah kepada beberapa acara yang menawarkan pingat, khususnya polo air, tenpin boling dan angkat berat. Skuad polo air lelaki dan wanita Selangor bakal berdepan Sarawak pada aksi final di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, manakala acara perseorangan lelaki dan wanita tenpin boling berlangsung di Sunway Megalanes, Subang. Angkat berat pula mempertaruhkan pingat bagi kategori 58 kilogram (kg) wanita dan 71kg lelaki di Dewan Seri Cempaka, Kajang.

Pemandangan keseluruhan kolam renang di Pusat Akuatik yang kini siap dibina dan bersedia menerima atlet serta pegawai temasya SUKMA di Pusat Akuatik, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Turut menjadi perhatian ialah memanah dan menembak, dengan acara compound lelaki dan wanita dijadual berlangsung di Stadium INSPEN, Bangi, manakala saingan menembak di Lapang Sasar Negara, Subang membabitkan acara 10m Air Rifle serta 50m Pistol bagi kategori individu dan berpasukan. Kontinjen Selangor juga meneruskan cabaran dalam olahraga di Stadium UPM, Serdang.

Atlet Selangor Syafiqah Mohd Azrul Ikram menyumbangkan pingat perak menerusi acara lompat bergalah wanita di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 16 Ogos 2026.

Dalam acara berpasukan, skuad bola sepak wanita Selangor berdepan Perak pada separuh akhir di Stadium Selayang, manakala sepak takraw wanita turut beraksi di separuh akhir di Arena MBSB Puchong. Badminton lelaki pula bertemu Sabah dalam Kumpulan A di Setia Alam Convention Center, bola tampar wanita menentang Perak dalam Kumpulan Y di Seksyen 4, Shah Alam, sementara futsal lelaki berdepan Sabah pada pusingan awal di Kompleks Belia dan Sukan, Shah Alam.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.