
SHAH ALAM, 6 SEPT: Empat acara Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan susulan keadaan jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 169 setakat tengah hari tadi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA 2026 dan Para SUKMA, Mohd Najwan Halimi berkata bacaan IPU di Shah Alam dan Klang berada pada tahap tidak sihat, menyebabkan empat acara terpaksa ditangguhkan.
“Keputusan itu dibuat selepas menerima nasihat Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan serta jawatankuasa khas teknikal yang memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Acara yang terlibat ialah Para Olahraga di Stadium UiTM, Para Renang di Kompleks Akuatik Selangor, Para Memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (Kombes) serta Boling Padang di Bayuemas, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Najwan yang juga EXCO Sukan berkata, pemakluman berhubung penangguhan dan penyambungan semula acara akan dibuat dari semasa ke semasa bergantung pada keadaan IPU di lokasi pertandingan.
Selangor menjadi tuan rumah Para SUKMA 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 10 September, membabitkan 369 acara di 10 lokasi sekitar Petaling dan Klang.
Saingan Para SUKMA bermula semalam, dengan beberapa acara berlangsung hari ini termasuk angkat berat, para badminton, boccia, ping pong, catur dan boling padang.







