
SHAH ALAM, 17 OGOS: Jurulatih pasukan sofbol lelaki Terengganu, Wan Mohd Shymin Amirul Wan Wan Mohd Sofli meninggal dunia hari ini selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika perlawanan berlangsung, semalam.
Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri ketika aksi pasukan sofbol lelaki Terengganu menentang Negeri Sembilan, semalam di Padang Softbol, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam perlawanan itu, Terengganu mencatat kemenangan 14-9 ke atas Negeri Sembilan, manakala pasukan wanita negeri berkenaan turut melakar kemenangan besar 21-1 ke atas Kelantan.
Sekretariat SUKMA Selangor 2026 menerusi kenyataan di media sosial rasmi turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan itu.
"Seluruh warga SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Shymin Amirul Wan Mohd Sofli.
"Allahyarham merupakan jurulatih pasukan Sofbol lelaki SUKMA Terengganu," menurut kenyataan itu.
Sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham, pihak Sekretariat SUKMA memutuskan supaya bertafakur selama satu minit pada setiap permulaan perlawanan sepanjang saingan SUKMA berlangsung hari ini.







