
SHAH ALAM, 23 OGOS: Sasaran 80 pingat emas sudah digenggam, namun perjuangan Selangor belum selesai apabila kontinjen tuan rumah terus menambah kilauan pingat pada hari kedua terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Emas ke-80 hadir menerusi acara e-sukan kira-kira jam 1.20 tengah hari selepas skuad enam atlet Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Pusat Konvensyen MPAJ.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pencapaian itu memenuhi sasaran ditetapkan sebelum temasya bermula, namun semua atlet perlu kekal fokus dengan kira-kira 90 acara masih berlangsung sehingga esok.
“Secara keseluruhan, kita berada pada landasan dalam memburu gelaran juara SUKMA 2026. Bagaimanapun ada 90 acara lagi sehingga esok, jadi memang kita perlukan fokus semua atlet,” katanya.

Momentum Selangor terus melonjak menerusi muay thai apabila kem tuan rumah mendominasi aksi final dengan lima pingat emas, termasuk kejayaan pasangan adik-beradik Adhem Syf dan Arysh Shaddad Ubaidillah@Nasri.

Boling padang pula menepati sasaran dua emas menerusi Andrian Asyarani Khabini dalam perseorangan lelaki serta trio Puteri Aira Azman Shah, Nur Dina Najwa Tarmizy Abdullah dan Lia Zuleeqa Zilhan Azril dalam acara bertiga wanita.

Keceriaan turut hadir di gelanggang bola tampar apabila skuad lelaki Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 dalam aksi final di Dewan Besar Tanjung MBSA.
Selangor menguasai perlawanan dengan kemenangan 25-22, 25-19 dan 25-19 untuk memastikan emas kekal milik tuan rumah.

Ragbi wanita pertahan kejuaraan
Di Stadium Sultan Suleiman, skuad ragbi wanita pula mempertahankan kejuaraan selepas membelasah Sarawak 41-0, sekali gus meraih emas untuk dua edisi berturut-turut.

Cadence ungguli acara batang titian
Gimnastik artistik turut menyumbang emas menerusi Cadence Teh Zi Qi yang mengungguli acara batang titian wanita dengan 13.000 mata, manakala rakan senegeri Nicole Wong Ziyi meraih perak.
Cadence turut menambah satu gangsa dalam acara senam lantai wanita selepas mengumpul 11.333 mata.

Di Pusat Akuatik Selangor, Daniell Scott Williams memastikan kem renang terus menyumbang emas apabila menjuarai 100 meter kuak lentang lelaki dengan catatan 57.07 saat.
Yuan Yi Chong pula meraih perak 1,500 meter gaya bebas wanita dengan catatan 18:03.20, manakala Yoong Jia Jia membawa pulang gangsa dalam acara sama.
Goh Li Jie turut menyumbang perak dalam 800 meter gaya bebas lelaki selepas merekodkan 8:30.77.
Kem terjun menamatkan cabaran dengan keseluruhan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Antara pencapaian utama ialah emas Ayu Syuhaida Khairul dalam 3 meter papan anjal wanita serta Muhammad Haris Mohd Rezal yang mencuri tumpuan selepas menewaskan dua penerjun kebangsaan untuk menjuarai 1 meter papan anjal lelaki.

Ping pong turut menutup saingan dengan satu emas dan dua perak apabila Cheah Yu Zheng mengatasi Gan Ai Lis dari Wilayah Persekutuan 4-2 dalam final perseorangan.


Di sebalik deretan emas, skuad bola sepak Selangor terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas 2-4 kepada Johor menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat 120 minit permainan.

Setakat 9.45 malam, 23 Ogos, Selangor terus kukuh di puncak carta pingat SUKMA 2026 dengan 97 emas, 71 perak dan 69 gangsa, menjadikan keseluruhan 237 pingat.
Wilayah Persekutuan berada di tempat kedua dengan 50 emas, 49 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu di tangga ketiga dengan 41 emas, 44 perak dan 35 gangsa.
Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan 40 serta 38 emas.
Dengan kelebihan 47 emas berbanding Wilayah Persekutuan, Selangor berada dalam kedudukan sangat kukuh menjelang hari terakhir temasya.
Dengan temasya berbaki satu hari, Selangor kini meneruskan pemburuan baki pingat bagi memperkukuh kedudukan dan merealisasikan sasaran muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.











