SUKMA 2026: Mei Yin pecah rekod peribadi, raih perak 100m wanita

16 Ogos 2026, 10:57 AM
SUKMA 2026: Mei Yin pecah rekod peribadi, raih perak 100m wanita
SUKMA 2026: Mei Yin pecah rekod peribadi, raih perak 100m wanita

SERDANG, 16 OGOS: Pelari pecut Selangor, Lim Mei Yin terus mencuri tumpuan apabila sekali lagi memperbaharui rekod peribadi untuk menghadiahkan pingat perak menerusi acara 100 meter wanita pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Atlet berusia 17 tahun itu mencatat masa 11.96 saat pada aksi final, sekali gus memperbaharui rekod peribadinya buat kali kedua dalam tempoh sehari selepas merekodkan 12.12 saat pada saingan separuh akhir.

Biarpun ini merupakan penampilan sulungnya di pentas SUKMA, Mei Yin mengakui teruja dengan pencapaian tersebut selepas segala usaha dan latihan konsisten selama setahun membuahkan hasil.

“Saya sangat gembira kerana dapat mencapai masa peribadi terbaik setelah berlatih sepenuh hati secara konsisten selama setahun,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, peluang bersaing dengan atlet kebangsaan turut memberikan pengalaman berharga yang mahu dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi pada masa akan datang.

Katanya, beliau turut menganggap persaingan dengan pemenang emas, Izzatul Musfirah, sebagai satu kelebihan kerana dapat menguji kemampuan diri selain menerima tunjuk ajar daripada atlet berpengalaman.

“Saya selalu bersaing dengan Izzatul dan bersyukur kerana dapat berlumba dengan dia yang mempunyai tahap yang tinggi dan menerima tunjuk ajar daripadanya,” katanya.

Mei Yin selepas ini akan kembali ke trek untuk menyertai acara 4x100 meter wanita dan berharap dapat sekali lagi menaiki podium bagi membantu Kontinjen Selangor menambah koleksi pingat pada SUKMA 2026.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.