
SHAH ALAM, 16 OGOS: Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi landasan penting untuk Selangor meneruskan pembangunan bakat muda dan memastikan negeri tidak ketandusan atlet berkualiti pada masa depan.
Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Azmi berkata usaha mencungkil dan menggilap atlet pelapis perlu dipergiat bagi memastikan kesinambungan generasi atlet negeri.
“Kita tidak mahu terjadi selepas pencennya seorang atlet, kita perlukan belasan tahun untuk melahirkan atlet yang baharu.
“Jadi pembangunan sukan itu perlu dipergiatkan lagi dengan bakat baharu, bakat muda ini perlu dicungkil lagi selepas ini,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Menurut Abbas, bakat muda juga perlu diberikan lebih banyak pendedahan supaya mampu berkembang dan membawa nama Selangor ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata pembangunan atlet di negeri ini dilaksanakan secara berterusan termasuk menerusi persatuan sukan serta pertandingan di peringkat sekolah seperti Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS).
“Di sinilah bakat-bakat baharu ini kita lihat, kita ambil mereka dan kita gilap mereka.
“Selepas SUKMA ini, pembangunan sukan akar umbi akan terus dilaksanakan. Sebenarnya bukan selepas SUKMA, tetapi ia telah berlangsung sejak sekian lama,” katanya.
Selain pembangunan bakat, Abbas berkata kemudahan sukan awam yang dinaik taraf turut menjadi antara legasi penting penganjuran SUKMA 2026.
Menurutnya, penambahbaikan kemudahan mengikut spesifikasi pertandingan bukan sahaja memenuhi keperluan temasya, malah memberi manfaat kepada penggiat sukan, atlet pelapis dan masyarakat selepas SUKMA berakhir.
“Semua kemudahan ini akan digunakan oleh orang awam dan penggiat, peminat sukan boleh menggunakan fasiliti awam yang sudah dinaik taraf mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan,” katanya.









