
SHAH ALAM, 15 OGOS: Seramai 300 sukarelawan diberi penghargaan menerusi penyertaan dalam perbarisan kontinjen sempena Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Penyertaan itu menjadi simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya berkenaan di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan SUKMA 2026, Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, penyertaan dalam perbarisan itu merupakan tanda penghargaan kepada sukarelawan yang menjadi antara penggerak utama kelancaran temasya.
"Secara keseluruhan, kira-kira 1,000 sukarelawan bertugas membantu menjayakan majlis perasmian, selain memastikan acara berlangsung meriah dan teratur.
"Mereka terlibat dalam pelbagai tugasan termasuk membantu menguruskan kehadiran penonton, memastikan aspek kebersihan dan keselamatan serta memberikan sokongan bagi memeriahkan suasana majlis," katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, penyertaan 300 sukarelawan dalam perbarisan itu turut menjadi tanda terima kasih kepada seluruh pasukan sukarelawan yang bertungkus-lumus memberikan khidmat sepanjang penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor.
Penglibatan mereka bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan temasya, malah mencerminkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat Selangor bagi menjayakan penganjuran temasya sukan terbesar negara.
Sumbangan sukarelawan juga menjadi antara elemen penting dalam memastikan urusan pertandingan dan pelbagai program sepanjang temasya dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada atlet, pegawai dan pengunjung.







