
SHAH ALAM, 16 OGOS: Lima tahun berjuang dalam sukan judo sejak usia 14 tahun akhirnya membuahkan hasil buat atlet Selangor, Muhammad Ashraf Md Khairuldin apabila meraih pingat emas kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.
Lebih bermakna, kejayaan itu didedikasikan kepada arwah ibunya yang menjadi sumber kekuatan Muhammad Ashraf sepanjang perjalanan sebagai atlet.
Atlet skuad tuan rumah itu berkata kejayaan berkenaan membuatkan segala penat lelah dan pengorbanannya sepanjang menjalani latihan selama ini terbalas, selain menjadi pencapaian cukup bermakna buat dirinya.
“Rasa gembira sebab kerja keras selama ini terbalas. Saya mula berlatih sejak umur 14 tahun dan sekarang sudah 19 tahun.
“Pingat ini saya hadiahkan kepada arwah mak saya. Saya juga rasa terhutang budi kepada jurulatih dan keluarga kerana banyak menyokong serta membantu saya sampai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Sementara itu, jurulatih judo lelaki Selangor, Muhamad Jafaannuar Jamaludin menyifatkan kejayaan Muhammad Ashraf sebagai hasil kerja keras dan komitmen atlet itu yang tidak pernah berhenti berusaha.
Katanya, beliau bersyukur selepas anak buahnya berjaya menyumbang pingat emas kepada Selangor, namun pencapaian itu banyak didorong usaha Ashraf sepanjang menjalani persiapan.
“Saya bersyukur selepas anak buah dapat emas. Tidak terkata sebenarnya, lebih kepada usaha atlet itu sendiri,” katanya.
Jafaannuar berkata Muhammad Ashraf sebelum ini turut meraih pingat perak pada SUKMA Sarawak 2024, selain pada masa sama perlu membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, fasa akhir persiapan Muhammad Ashraf menghadapi SUKMA 2026 turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang menaja atlet itu bersama atlet judo wanita Selangor, Nur Sufia Arisha Mohamed Rasidi, menjalani latihan di Indonesia selama 28 hari.
“Untuk persiapan akhir, MSN menaja Ashraf dan Nur Sufia menjalani latihan di Indonesia selama 28 hari.
“Selebihnya, kejayaan ini adalah hasil dedikasi atlet serta jurulatih di Indonesia,” katanya.








