
SHAH ALAM, 16 OGOS: Semangat Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 bukan sahaja dirasai dalam kalangan atlet, malah turut dimeriahkan kehadiran penyokong dari serata negara.
Bagi Mohd Nasir Abdul Rahim, 37, dari Tawau, Sabah, perjalanan jauh bersama keluarga tidak menghalang mereka hadir memberi sokongan kepada abangnya yang menyertai acara lompat jauh pada temasya kali ini.

Menurutnya, beliau bersama lapan dewasa dan enam kanak-kanak dari Tawau dan Sandakan tiba di Selangor pada pagi semalam selepas menaiki penerbangan dari Negeri di Bawah Bayu itu.
“Harap abang dapat emas. Kami datang memang untuk beri sokongan dan meriahkan SUKMA kali ini.
“Selain sasaran emas, kami semua juga berharap dapat cabutan bertuah kereta Proton e.MAS 5. Ada lapan nombor, harap ada yang bertuah. Kalau dapat motosikal atau telefon pun sudah memadai,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Sementara itu, Norfazliana Jemali, 47, dari Pulau Pinang berkata, beliau dan suami hadir bagi memberi sokongan kepada anak tunggal mereka yang berusia 16 tahun dan pertama kali menyertai SUKMA dalam acara tenpin boling.
Katanya, mereka turut tiba sehari lebih awal bagi menyaksikan sesi latihan di Sunway Pyramid, semalam, selain mahu merasai sendiri kemeriahan temasya berkenaan.
“Ini kali pertama anak saya terlibat dalam SUKMA. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mendoakan anak dan semua pasukan Pulau Pinang supaya berjaya serta selamat maju jaya,” katanya.

Bagi Nur Azuwa Md Lasim, 40, dari Johor pula, beliau sudah ‘berkampung’ di Selangor sejak 6 Ogos lalu dan merancang untuk terus berada di negeri ini sehingga temasya berakhir.
Katanya, beliau hadir khusus bagi memberi sokongan kepada kontinjen Johor dengan memberi tumpuan kepada acara berbasikal dan olahraga.
“Saya harap Johor menang kali ini. Memang sudah merancang untuk duduk di sini sehingga penutup SUKMA,” katanya.

Turut memeriahkan temasya ialah Nursyuhadah Ramli, 38, dari Port Klang yang mengambil kesempatan hujung minggu untuk membawa anak-anak menyaksikan majlis perasmian dan merasai sendiri suasana SUKMA Selangor 2026.
Katanya, kemeriahan temasya itu semakin menarik perhatiannya selepas melihat pelbagai promosi dan iklan SUKMA dipaparkan di sekitar kawasan berkenaan.
“Saya memang sudah lama merancang untuk datang menyaksikan perasmian. Bila nampak iklan SUKMA di merata tempat, rasa macam nak datang dan rasai sendiri kemeriahannya.
“Dari segi sukan pula, saya memang fokus hendak tengok badminton,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 yang diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang berkenan menyampaikan lafaz perasmian.
SUKMA 2026 mempertandingkan 468 acara melibatkan 37 jenis sukan sebagai medan mencungkil dan membangunkan bakat muda yang berpotensi melangkah ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa.








