
SHAH ALAM, 15 OGOS: Dato’ Menteri Besar memberi jaminan isu berkaitan jadual penggunaan kolam yang menjejaskan sesi latihan atlet renang Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 tidak akan berulang sepanjang temasya berlangsung.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyelarasan jadual penggunaan kolam akan dibuat dengan mengambil kira keperluan latihan atlet, khususnya sepanjang berlangsungnya acara renang.
“Kita akan beri ruang untuk mereka. Mungkin kebetulan ada beberapa jadual yang perlu disusun, tambahan pula acara renang juga akan berlangsung.
“Jadi, kita akan elakkan ataupun pastikan perkara itu tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sesi latihan 28 perenang para Selangor yang membuat persiapan menghadapi Para SUKMA 2026 terganggu selepas sebuah kelab luar didakwa menggunakan kolam yang diperuntukkan untuk latihan rasmi mereka.
Insiden itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam pada 14 Ogos, ketika slot berkenaan diperuntukkan untuk latihan rasmi pasukan renang Para SUKMA Selangor di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa pasukan renang Para SUKMA Selangor terpaksa menghentikan latihan serta-merta bagi memberi laluan kepada pihak lain yang bukan atlet temasya untuk menggunakan kemudahan berkenaan.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan atlet terlibat kehilangan masa latihan penting menjelang pertandingan.
SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dijadualkan pada 5 hingga 14 September.
Seramai 1,029 atlet dan pegawai mewakili Selangor pada SUKMA, manakala Para SUKMA melibatkan 258 atlet dan pegawai.







