Momentum positif suntik keyakinan Selangor buru juara SUKMA

16 Ogos 2026, 12:10 AM
Momentum positif suntik keyakinan Selangor buru juara SUKMA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Momentum positif yang diraih setakat ini menyuntik keyakinan Selangor dalam misi memburu kejuaraan keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, namun kontinjen negeri tidak mahu terlalu selesa memandangkan persaingan masih terbuka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prestasi semasa memberi petunjuk positif terhadap perjalanan kontinjen Selangor, namun perjuangan masih panjang dan atlet perlu terus fokus bagi mengekalkan rentak kemenangan.

“Nampaknya kita berada dalam rekod yang baik. Ikutkan hari ini (15 Ogos), sepatutnya kita hanya menambah satu pingat emas, tetapi hari ini dapat dua lagi bonus, menjadikan keseluruhan tujuh (emas).

“Jadi, insya-Allah kita berada dalam landasan yang baik. Tetapi dalam sukan, apa-apa boleh berlaku. Semangat kesukanan itu yang penting,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.

Kontinjen Selangor terus mengungguli kedudukan SUKMA 2026 selepas menambah tiga pingat emas hari ini, menjadikan keseluruhan koleksi kepada tujuh emas.

Tiga emas terbaharu tuan rumah disumbangkan menerusi acara judo lelaki bawah 81 kilogram (kg), bola tampar pantai wanita dan gimrama latihan berpasukan.

Terdahulu, Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam berlangsung meriah, sekali gus menandakan pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu.

Majlis anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang berkenan menyampaikan lafaz perasmian.

Perarakan 15 kontinjen negeri bersama kontinjen Brunei, yang didahului kibaran Jalur Gemilang oleh anggota Rejimen Askar Melayu Diraja, turut menyemarakkan suasana majlis.

Mempertandingkan 468 acara daripada 37 jenis sukan, temasya itu terus menjadi medan mencungkil dan melahirkan bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.